Pasukan kebangsaan Yaman terus dihurung malu selepas tewas kepada pasukan 203 dunia.
Skuad kendalian Noureddine Ould Ali turun dengan kesebelasan terbaik dalam misi memburu kemenangan selepas mengharungi 4 aksi hambar.
Aksi babak pertama menyaksikan kedua-dua pasukan saling bertukar serangan namun tiada sebarang jaringan dihasilkan.
Bersambung babak kedua, Sri Lanka yang dibimbing oleh Andy Morisson tampil dengan aksi bertenaga untuk mencari jaringan pembukaan.
Perlawanan yang berlangsung di Doha, Qatar itu terus hambar memasuki 60 minit permainan sungguhpun kedua-dua pasukan telah melakukan beberapa pertukaran.
Detik yang ditunggu-tunggu akhirnya tiba pada penghujung babak kedua apabila pertahanan kanan Sri Lanka, Jack Hingert menanduk masuk jaringan kemenangan pada minit ke-88.
Jaringan pemain berusia 34 tahun yang beraksi di A-League itu sudah cukup untuk memastikan kemenangan menjadi milik Sri Lanka.
Skuad utama Sri Lanka ketika ini dibarisi beberapa muka kacukan dari luar negara seperti Claudio Kammerknecht dan Leon Perera (Jerman), Jack Hingert dan Oliver Kelaart (Australia) dan Sam Durrant (England).