Pertahanan Jordan, Yazan Al-Arab berhasrat untuk membantu negaranya mara lebih jauh pada kempen Piala Asia kali ini.
Walau bagaimanapun, beliau sedar lawan yang bakal ditempuh iaitu Tajikistan bukanlah calang-calang pasukan, ditambah pula juara Pesta Bola Merdeka 2023 itu dalam momentum terbaik selepas menyingkirkan UAE sebelum ini.
Beliau menyifatkan Tajikistan merupakan pasukan yang berdisiplin tinggi dan berharap pasukannya dapat memberikan aksi terbaik di atas padang.
“Amat sukar menentang pasukan yang tersusun dari segi taktikal dan bermain dengan agresif. Harapnya, kita sebagai pemain dapat tampil pada ketika itu dan mengikut setiap arahan yang diberi jurulatih”, katanya ketika sidang media pra perlawanan.
Tambahnya lagi, sokongan padu para penyokong Jordan diharap mampu menjadi tonik buat mereka agar keputusan positif dapat bersama dirai apabila wisel penamat dibunyikan nanti.
“Kami mengharapkan sokongan penyokong Jordan. Harapnya mereka juga dapat menyokong kita seperti biasa. Dan Insya Allah selepas perlawanan, kita semua akan bergembira”, tambah pemain berusia 28 tahun itu.
Bekas pertahanan Selangor ini juga memasang impian dan hasrat untuk membawa negaranya melakar sejarah mara ke separuh akhir buat kali pertama dalam sejarah.
“Cita-cita kita ialah untuk sampai ke peringkat separuh akhir Insya Allah.”
Di aksi pusingan 16 terbaik yang lalu, Jordan berjaya melakukan kebangkitan dramatik untuk mengatasi Iraq 3-2 dengan Yazan cemerlang mencetak nama sebagai penjaring gol kedua pasukan di minit 96.
Pertembungan Jordan dan Tajikistan untuk merebut tiket ke separuh akhir bakal berlangsung pada Jumaat jam 7.30 malam waktu tempatan.