Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Wira Yusoff Mahadi menyifatkan usaha penswastaan kelab Liga Malaysia (Liga M) gagal.
Pandangan itu dibuat beliau selepas melihat kelab-kelab Liga M bergelut dengan masalah kewangan terutama isu tunggakan gaji.
Situasi ini menyebabkan Liga Super musim 2025/26 bakal kehilangan beberapa pasukan seperti Perak FC, Sri Pahang FC dan Kedah Darul Aman FC (KDA FC).
Yusoff melihat pihak persendirian dilihat masih belum mampu menggerakkan pasukan. Beliau turut melihat hanya campur tangan kerajaan negeri yang mampu menyelamatkan pasukan-pasukan tersebut.
“Kalau melihat kepada apa yang berlaku sekarang ini, saya boleh anggap ia adalah kegagalanlah,” katanya seperti dilaporkan Stadium Astro.
“Maksudnya, pada awalnya kami berasakan dengannya (penswastaan kelab), kita akan dapat melonjakkan lagi bola sepak kita. Pasukan akan dijalankan secara profesional sepenuhnya kerana sebelum ini pasukan masih terikat dengan persatuan.
“Tetapi dalam konteks Malaysia, rupanya tidak boleh. Belum boleh berlaku. Apabila FC dikendalikan sepenuhnya oleh syarikat yang tiada hubungan dengan persatuan, kebanyakan pasukan yang tidak mampu ini saya lihat mereka tiada langsung hubungan dengan kerajaan negeri.”
10 Mei bakal menyaksikan kelab-kelab Liga Super menghantar permohonan Lesen Kebangsaan untuk musim 2025/26.
Tarikh itu dinantikan ramai peminat bola sepak negara untuk mengetahui pasukan mana yang mendapat lesen untuk musim hadapan.