Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah mengesahkan pelantikan Datuk Wira Yusoff Mahadi sebagai pengurus pasukan Harimau Malaya.
Skuad Harimau Malaya kini berada di Johor Bharu untuk membuat persiapan rapi menjelang perlawanan pertama Kelayakan Piala Asia yang akan bermula minggu hadapan.
Sesi latihan skuad negara turut dikunjungi oleh Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Yusoff Mahadi yang dikesan berada di sana bagi memantau persiapan yang dilakukan oleh anak didik Peter Cklamovski.
Menurut Presiden FAM, Datuk Joehari Ayub, keberadaan Yusoff Mahadi di Johor Bharu sebagai pengurus pasukan yang dilantik oleh badan induk itu dan berharap kejayaan besar dapat diraih nanti.
”Datuk Wira (Yusoff Mahadi) kita lantik sebagai pengurus pasukan dan kita mendapat maklum balas bahawa semua berjalan dengan lancar,” kata Joehari Ayub kepada pihak media.
”Setakat ini kita doalah (supaya) Malaysia menang besar dalam perlawanan menentang Nepal nanti,” ujar beliau ketika Majlis Berbuka Puasa bersama FAM pada Khamis.
Skuad negara kini memiliki tugas penting bagi membuka tirai kempen Kelayakan Piala Asia dengan langkah kanan apabila bakal bertemu Nepal di Stadium Sultan Ibrahim pada 25 Mac.
Aksi Malaysia vs Nepal dijadualkan bermula jam 10 malam dan tiket perlawanan sudah mula dijual di laman sesawang TicketHotline.