Ketua Jurulatih Perak FC, Yusri Che Lah menyuarakan kegusaran mengenai apa yang bakal ditampilkan anak buahnya dalam menghadapi aksi Liga Super bertemu Kuala Lumpur City FC (KL City) pada Ahad (4 Jun).
Yusri menyuarakan kegusarannya selepas menyaksikan pemain-pemain kendaliannya tidak merasai sebarang aksi kompetitif selama 30 hari sebelum bertemu KL City.
“Kegusaran saya terletak pada intensiti permainan, adakah masih lagi sama mahupun terencat persembahan mereka akibat 30 hari (tanpa aksi kompetitif) itu.
“Semalam kehilangan seorang pemain import dalam sesi latihan, kami harapkan setiap ujian ini pemain dapat berikan aksi lebih bertenaga,” jelas Yusri seperti dilaporkan Stadium Astro.
Perak yang hadir sebagai pasukan pelawat berazam mahu mengutip mata di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur lebih-lebih lagi mereka kini berbaki tiga perlawanan sahaja lagi sebelum tamat saingan Liga Super musim 2024/2025.
“Kami hadir untuk mendapatkan mata dan bukan sekadar melengkap sisa perjuangan dalam baki tiga perlawanan,” tambah Yusri lagi.
Perak kini berada di kedudukan ke-7 Liga Super dengan mengumpul 24 selepas 21 perlawanan dan dengan berbaki 3 perlawanan, mereka mahu menghabiskan musim ini untuk sekurang-kurangnya berada di kedudukan pertengahan liga.