Jurulatih Perak FC, Yusri Che Lah menyifatkan perbezaan tahap pasukannya dan juara Liga Super musim 2024/25, Johor Darul Ta’zim (JDT) ibarat kereta Perodua Kancil dengan Ferrari.
Beliau berpandangan sedemikian kerana pengendali juara liga 11 kali itu, Hector Bidoglio memiliki ramai pemain berkualiti yang boleh diturunkan dalam kesebelasan utama.
Meskipun JDT menurunkan barisan berbeza menentang The Bos Gaurus, kesebelasan utama pasukan itu tetap menampilkan ramai pemain hebat. Antara pemain yang dipilih Bidoglio ialah Jese Rodriguez, Jordi Amat, Arif Aiman Hanapi dan Shahrul Saad.
Atas sebab itu, Yusri merasakan perbezaan tahap tersebut mendorong beliau merencana strategi berbeza bila beraksi di Stadium Sultan Ibrahim (SSI).
“Apa yang saya ingatkan pemain saya, kita ini (ibarat) bawa (Perodua) Kancil, JDT bawa Ferrari. Seandainya kita nak lawan Ferrari, kita pasti kalah melainkan kita buang tayar dia,” katanya dalam sidang media pasca-perlawanan.
“Tukar enjin, belum tentu (nanti) takut meletup. Kalau kita kalah dengan JDT 2-0, itu satu penghargaan kepada para pemain saya. Dan motivasi itu saya tuntut dalam perlawanan seterusnya.”
Perak terpaksa akur dengan kehebatan Harimau Selatan apabila tewas 2-0 di SSI. Jese Rodriguez dan penalti Jorge Obregon memastikan kejuaraan Liga Super ke-11 buat JDT.
The Bos Gaurus kini mengalihkan fokus kepada aksi liga seterusnya menentang Negeri Sembilan FC pada 8 Mac ini.