Semua sedia maklum Perak ketika ini dilatih oleh jurulatih sementara Yusri Che Lah selepas merehatkan Datuk Lim Teong Kim. Dan walaupun sedar cabaran menentang naib juara Liga Super musim lepas, Terengganu di Ipoh esok, beliau masih percaya dengan kemampuan pemain-pemain muda Seladang.
Yusri mengakui ramai pemain Perak terutama di barisan pertahanan berusia di bawah 25 tahun. Jika ada pun pemain senior, hanya beberapa orang seperti kapten Hafizal Mohamad dan Haziq Puad.
Di sebalik semua itu, bekas pengendali KL City itu percaya dengan kemampuan anak-anak buahnya. Tetapi dengan syarat, mereka menunjukkan perwatakan kental terutama bila beraksi di bahagian pertahanan.
“Saya percaya melihat dengan skop yang saya miliki sedia ada, apabila dianalisis setiap pemain pertahanan yang dimiliki, katanya mereka pada usia yang masih muda iaitu di bawah 25 tahun.
“Bukan kebanyakan tetapi majoriti. Dua orang pemain yang memiliki umur lebih daripada 25 tahun ialah Haziq Puad dan Hafizal (Mohamad) sahaja.
“Selain daripada itu, semua di bawah usia 25 tahun. Sudah pasti mereka agak muda untuk mengendalikan (pertahanan) kerana barisan pertahanan ini kita perlukan pemain yang lebih senior.
“Muda tidak mengapa, yang penting ada karakter sebagai pemimpin yang boleh mempertahankan (gawang daripada) jaringan ciptaan pihak lawan. Itu yang lebih baik daripada saya.
“Untuk itu, saya mohon kepada semua dalam skuad untuk terus memberi komitmen terbaik dalam perlawanan-perlawanan akan datang,” katanya dalam sidang media Nadi Bola yang disiarkan di Astro Arena 2.