Zainal Abidin Harap Negeri Sembilan Kekal Konsisten
MakanBola
Negeri Sembilan FC

Legenda bola sepak negara, Datuk Zainal Abidin Hassan berharap Negeri Sembilan FC dapat mengekalkan prestasi sama ketika menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk baki kempen musim ini.

Pandangan itu dibuat beliau selepas melihat persembahan anak buah Nidzam Jamil baru-baru ini.

Zainal merasakan prestasi pasukan itu menentang JDT seharusnya menjadi penanda aras untuk baki kempen musim ini.

Ini kerana seandainya Negeri Sembilan berjaya mengekalkan prestasi konsisten, tidak mustahil pasukan itu mampu mencabar kedudukan lima pasukan terbaik liga.

“Soalan saya di sini, kenapa persembahan (Negeri Sembilan) yang menarik itu ketika menentang JDT sahaja? Faham tak?

“Bermakna awak sudah tunjukkan warna sebenar awak, apa yang awak boleh buat, apa yang awak boleh main. Tetapi kenapa menentang JDT sahaja?

“Jadi kalau awak dapat pamerkan prestasi konsisten, awak pergi jauh,” katanya semasa menjadi panel Arena Bola.

Zainal juga percaya prestasi tidak menentu Negeri Sembilan turut dipengaruhi oleh mentaliti pasukan itu.

Lantas, beliau melihat Sang Rusa harus melakukan perubahan mentaliti jika ingin mencapai sasaran musim 2025/26.

“Sebab itu kadang-kadang minda ini kena ubah. Ini bukan kata lawan pasukan kuat atau pasukan lemah. Ini standard saya untuk pasukan saya. Itu nak kena dibentuk di dalam pasukan,” ujarnya.

Negeri Sembilan kini mengalihkan fokus kepada aksi menentang Selangor FC di Stadium MBPJ pada 14 Januari.

Sang Rusa berharap dapat mengulangi kejayaan menewaskan Merah Kuning 3-2 di Paroi pada Ogos 2025.