Legenda bola sepak negara, Datuk Zainal Abidin Hassan menyifatkan keputusan yang dibuat Nidzam Jamil dalam aksi suku akhir kedua Piala FA antara Selangor FC dengan Kuching City FC sebagai adil.
Keputusan yang dimaksudkan bekas jurulatih Sri Pahang FC itu ialah tindakan Nidzam memasukkan Aliff Izwan Yuslan, Fazly Mazlan dan Syahir Bashah sebagai pemain gantian pada masa tambahan.
Selangor sebelumnya dipaksa beraksi dengan sembilan pemain selepas Yohandry Orozco dan Reziq Bani Hani dilayangkan kad merah oleh pengadil, Suhaizi Shukri.
Apabila ditanya tentang hal itu oleh Zainal Abidin, Nidzam mengakui beliau memasukkan Aliff Izwan, Fazly dan Syahir bukan saja untuk membantu Merah Kuning bertahan sehingga ke penentuan sepakan penalti.
Malah, ini membantu beliau merehatkan pemain yang dikeluarkan termasuk penyerang Chile, Ronnie Fernandez.
“Jujur saya mengaku untuk bertahanlah. Sebab kita nampak lepas Reziq keluar (dikenakan kad merah), kita nampak Alvin pun sudah hilang kakilah (keletihan). Ronnie pun sudah hilang kaki (kepenatan).
“Kita rasa pelan terbaik ialah letakkan pemain baru dan letakkan (dalam formasi) 4-4. Kemudian kita beritahu mereka bahawa kita perlu berdisiplin dan kita perlu tamatkan perlawanan,” katanya dalam temu bual selepas perlawanan di Astro Arena.
Percaturan yang dibuat Nidzam membuahkan hasil apabila Selangor meraih kemenangan di peringkat suku akhir kedua menerusi penentuan sepakan penalti.
Merah Kuning selepas ini akan bertemu dengan Terengganu di pentas separuh akhir pada 20 Julai dan 3 Ogos ini.