Zainal Abidin Mahu Kelab Di Malaysia ‘Tiru’ JDT
MakanBola
@melakautdfc_official

Selepas mencatat satu lagi kemenangan dalam perlawanan ke-11 Liga Super hari ini, Johor Darul Ta’zim (JDT) kelihatan sukar ditandingi oleh mana-mana pasukan. Dan disebabkan penanda aras yang ditetapkan mereka begitu tinggi, bekas jurulatih Penang, Datuk Zainal Abidin Hassan mahu melihat kelab-kelab di Malaysia mencontohi kelab gergasi selatan tanah air itu.

Hal ini kerana JDT dilihat menunjukkan model pengurusan yang profesional dan cekap dalam pelbagai aspek daripada pengurusan pemain hinggalah pengurusan kewangan. Dan disebabkan faktor inilah, mereka berupaya membentuk pemain-pemain yang berkualiti termasuk yang lahir daripada akademi mereka sendiri.

Zainal yang pernah melatih Sri Pahang dan Selangor berpandangan sekiranya kelab-kelab mencontohi JDT, Liga Malaysia (Liga M) bukan saja akan menjadi lebih kuat dan berkualiti. Malah, liga yang kuat mampu membekalkan pemain-pemain berkualiti yang menganggotai skuad Harimau Malaya sekaligus mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.

“Baiknya adalah JDT sebagai satu pasukan yang perlu dicontohi dan berada dalam liga. JDT memberi dorongan kepada pasukan-pasukan lain untuk mencapai satu tahap yang tinggi.

“Dan juga pasukan-pasukan lain, mereka tengah mencuba untuk sampai ke satu tahap yang baik. Kerana amat penting bila liga kita kuat atau menampilkan ramai pemain tempatan dalam pasukan kita, ini yang kita inginkan kerana kekebalan skuad kebangsaan.

“Kekebalan pasukan kebangsaan datang daripada betapa kuatnya liga kita atau pun berapa ramai pemain kita berada di luar negara. Tetapi kita tidak mempunyai ramai pemain di luar negara.

“Jadi, makin banyak pasukan yang menunjukkan mutu permainan yang baik, lebih ramailah yang lahir pemain kebangsaan yang baik,” katanya bila ditemubual Haji Zainal Abidin Rawop untuk program Nadi Bola hari ini.