Legenda bola sepak negara, Datuk Zainal Abidin Hassan berpandangan Terengganu FC masih belum menemui pengganti penyerang Croatia, Ivan Mamut.
Pandangan itu dilontarkan selepas melihat pasukan itu bergelut meraih keputusan seri 2-2 dengan Perak FC dalam aksi terbaru Liga Super pada 26 Oktober lalu.
Perak mendahului sebanyak dua kali menerusi penalti Luka Milunovic dan Luciano Guaycochea. Walau bagaimanapun, Peteh memastikan kedua-dua pasukan meraih satu mata menerusi Nelson Bonilla dan penalti Nik Sharif Haseefy Mohd Lazim.
Mamut muncul penjaring terbanyak Terengganu pada musim 2023 dengan 23 gol dalam semua kejohanan termasuk Piala AFC. Beliau kemudiannya terpaksa disisihkan pada aksi pra-musim 2024/25 akibat kecederaan serius.
Meskipun sudah menjalani pembedahan di Croatia, Mamut masih lagi menjalani proses pemulihan bersama pasukan perubatan Peteh.
Situasi ini mendorong pengurusan Terengganu membawa masuk bekas penyerang Kelantan Darul Naim FC (KDN FC), Ismaheel Akinade dan Bonilla sebagai pengganti bekas penyerang Inter Zapresic itu.
Akinade dan Bonilla masing-masing menyumbat empat dan dua gol untuk Terengganu – masih kurang jika dibandingkan dengan jumlah gol Mamut pada musim 2023.
Malah, penjaring terbanyak Terengganu musim ini ialah kapten mereka, Safawi Rasid. Safawi sudah meledakkan tujuh gol dalam semua kejohanan termasuk Shopee Cup.
Atas sebab itu, Zainal merasakan isu ini perlu diatasi segera oleh pemangku jurulatih, Badrul Afzan Razali jika mahu menamatkan kemarau kemenangan Terengganu.
“Betul, sesuatu proses yang kita buat baik di dalam bola. Baik, kalau kita lemah di bahagian pertahanan, (kenal pasti) titik kelemahan kita untuk kita tampal. Tetapi kita dapat lihat Terengganu ini 99% (dari segi) peningkatan dan pelan permainan.
“Yang 1% itu macam Ivan Mamut, di situ macam kehilangan dan masih lagi tak nampak pengganti. Jika mereka mendapat (pengganti bersesuaian) ini, bukanlah lengkap tapi mereka dapat balik apa yang mereka inginkan.
“Jadi, mereka lakukan (ancaman) bahaya tiga, empat kali, mereka mungkin dapat satu gol. Tapi kebelakangan ini kita melihat ia berlaku di luar kotak penalti, tiada cabaran pada hantaran-hantaran. Naluri (penyudah) itu yang hilang dalam skuad Terengganu,” katanya semasa menjadi panel Arena Bola.
Selepas ini, Terengganu bakal menentang Penang FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) pada 1 November ini.