Ramai pihak memberi reaksi positif terhadap usaha MFL mengadakan perlawanan pada waktu siang. Terbaru, pemilik Kelantan, Norizam Tukiman atau Zamsaham turut memuji langkah yang diambil MFL.
Mengikut pengumuman MFL beberapa hari lepas, perlawanan waktu petang di Semenanjung Malaysia bakal diadakan pada 5.15 atau 5.30 petang. Sementara untuk perlawanan di Sabah dan Sarawak, perlawanan diadakan sekitar 4.30 atau 4.45 malam.
Bagi Kelantan, beraksi pada waktu petang bukan perkara baru bagi mereka. Dan Zamsaham, ia sebenarnya menarik lebih ramai penonton untuk menonton perlawanan pasukan kegemaran mereka.
“Pada saya, bermain pada waktu petang ini dapat membantu peminat-peminat wanita untuk hadir ke stadium.
“Sebab kalau semua perlawanan habis pukul 11.00 atau 12.00 malam, saya rasa peminat-peminat wanita nak datang mungkin takut, sebab ada masalah-masalah yang mungkin berlaku.
“You taulah, malam kan? Jadi, kalau petang buat (perlawanan), mungkin dia akan dapat mengelak unsur-unsur negatif. Sebab kalau dibuat petang, dia boleh bawa anak-anak, yang kecil pun boleh dibawa,” katanya selepas sidang media pengumuman kerjasama Kelantan-pitchIN.
Tambah pemilik Kelantan itu lagi, sekiranya perlawanan dihadiri oleh anak-anak muda, ia bakal mewujudkan kelompok pelapis penyokong baru Red Warriors. Ini didorong oleh memori yang dicipta bersama keluarga atau kenalan rapat semasa menonton di stadium.
“Pada saya, bila anak-anak muda digalakkan datang ke stadium, ia sebenarnya memberi impak lima tahun, 10 tahun, 20 tahun ke depan. Ia akan meresap dalam subconscious (minda bawah sedar) untuk mereka meminati apa yang ayah mereka minat masa muda.
“Jadi, saya rasa untuk pembangunan industri bola, jika kita buat perlawanan waktu siang, Insya Allah untuk 20 tahun lagi, mereka akan membesar dan meminati bola sepak pula.
“Jadi, kenapa kita tidak mencuba pula beraksi pada waktu petang? Pada saya, MFL sudah membuat kajian mendalam untuk setiap waktu dan masa yang dirancang,” tambahnya.