Pemilik pasukan Kelantan FC, Norizam Tukiman (Zamsaham) bersetuju sekiranya Stadium Sultan Muhammad IV diubah suai atau dibina baru dengan rekabentuk yang cantik bersesuaian dengan stadium khas untuk bola sepak.
Stadium khas bola sepak tanpa track larian adalah sesuatu yang sukar ditemui di Malaysia dan buat masa ini ianya hanya terdapat di Johor dan di Jengka.
Menjawab komentar yang ditulis oleh penyokong Kelantan di facebook Zamsaham, Zamsaham bersetuju seandainya Stadium Sultan Muhammad IV (SSMIV) dipajak untuk proses pembinaan stadium baru.
“Saya sependapat dengan anda, kita design cantik-cantik ikut bola sepak punya gaya,” komen Zamsaham membalas komentar yang ditulis oleh Marwan Mamat.
“Pada pendapat saya, jika kerajaan negeri nak buat stadium baru, mohon pajak stadium yang sedia ada dan dijadikan stadium khas bagi bola sepak. Renovate sikit bagi menambahkan bilangan tempat penonton untuk lebih selesa,” komen Marwan Mamat di Facebook.
Dalam hantaran asal yang dipos oleh Zamsaham, beliau menyenaraikan senarai kelab ternama dunia yang masih menyewa stadium namun memiliki nilai pasaran yang besar sekaligus menarik perhatian penyokong memberikan pelbagai pendapat.
Stadium khas yang dibina khas untuk bola sepak seperti Stadium Sultan Ibrahim di Johor merupakan antara pembangunan yang diinginkan kebanyakan penyokong kerana ianya memberikan keselesaan kepada semua penonton disamping pandangan penonton yang lebih dekat kepada pemain yang sedang beraksi.