Semua sedia maklum antara isu yang membayangi Kelantan FC ialah isu penahanan gaji sebanyak 50% oleh pemillik kelab, Norizam Tukiman atau Zamsaham. Dan semalam, beliau menjelaskan langkah tersebut dibuat bagi ‘mengajar’ pemain agar lebih bermotivasi memburu kemenangan.
Sejak kali terakhir mengecapi kemenangan ke atas Penang FC pada 5 Mac lalu, Kelantan FC sudah lama tidak merasai nikmat kemenangan dalam liga. Dan walaupun sudah bertukar jurulatih daripada Choi Min-sik kepada Frank Bernhardt, The Red Warriors (TRW) masih gagal melakukannya.
Atas sebab itu, Zamsaham berharap dengan menahan separuh daripada gaji mereka, itu memberi motivasi kepada pemain untuk menghentikan kekalahan demi kekalahan yang dialami pasukan.
“Tuan-tuan kalau sebagai pemilik kelab, tuan-tuan dapat duit banyak tapi kalah. Dah habis marah dah, dah tak tau nak cakap apa lagi.
“Dan untuk pengetahuan tuan-tuan, saya jarang tengok pemain musim ini. 2021, 2022, saya selalu turun tengok. Musim ini saya jarang datang. Bila saya datang dan saya masuk, saya jangka pasukan menang, menang dan menang.
“Kali terakhir yang saya tahu, kita kalah 6-1 (dengan Sabah pada 19 April). Kalah 6-1, saya kata, ‘Alamak, kalah, kalah, kalah.’ Beginilah, saya rasa saya tak tahu nak buat apa lagi saya telefon peguam dan tanya pendapat.
“Kita punya prestasi teruk sangat. Kita ada hak untuk menahan atau mengambil sedikit (gaji) sebagai penalti. Kita kenakan penalti kepada para pemain.
“Sebelum kita tahan, kita hantar memo kepada semua pemain sebulan awal untuk kata kita tahan gaji dengan syarat berikan kita kemenangan, kita akan berikan balik duit itu.
“Bukanlah niat saya nak tahan. ‘Aku dah tak tau nak marah apa. Korang main betul-betul, aku bagi balik gaji.’ Macam anak kita sekolah, contohnya kita bagi anak kita RM10. Sekolah bagus tak, bagus. Kalau sekolah tak bagus, kita bagi RM5. Kalau sekolah bagus balik, belajar bagus, ‘Ayah bagi kau balik RM10.’
“Niat kita di sini ialah mengajar, bukan niat nak mendera. Niat kita mengajar supaya you all main betul-betul, nanti ayah akan bagi balik full duit. Selama saya berniaga, saya bukan nak tahan suka-suka.
“Inilah sekali dalam 10 kali, saya kena bantai dengan peminat-peminat, semua maki saya team kalah, team tak bagus. Takpelah, kita cuba tahan gaji diorang. Lagi kalah, bukan lagi menang.
“Ini masa saya jumpa baru-baru ini hari Rabu, jumpa KU (Kelantan United FC) kalau boleh menanglah. Kalau jumpa KU, serilah. Tapi kalau korang kalah juga, aku janji akan bayar balik semua gaji korang. Maksudnya, saya dah berjanji. Bukan saya suka-suka, Saya cuma nak tengok komitmen mereka.
“Tetapi pada akhirnya, ada pula sesetengah pemain yang tak suka dengan pemain dalam pasukan sendiri, sekadar bermain-main,” katanya dalam sesi soal jawab bersama penyokong di Zamburger Kelantan semalam.
Kelantan FC selepas ini bakal berdepan Kuching City FC untuk aksi Liga Super seterusnya pada 8 Jun ini sebelum liga berehat untuk kalendar antarabangsa FIFA bulan Jun.