Bekas penyerang kebangsaan, Zaquan Adha Abdul Radzak ingin melihat revolusi terbaru Harimau Malaya membawa pasukan itu lebih dikenali di pentas dunia.
Revolusi baru Harimau Malaya bermula dengan pengumuman pelantikan dua jurulatih baharu, Peter Cklamovski dan Nafuzi Zain oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada 16 Disember lalu.
Cklamovski diberi amanah mengendalikan skuad Harimau Malaya. Nafuzi yang cukup dikenali dalam arena bola sepak negara diberi tugas membentuk skuad Malaysia Bawah 23 Tahun (B-23).
Kedua-dua figura ini bakal memulakan tugas mereka pada 1 Januari 2025. Zaquan merasakan perubahan jurulatih yang dibuat kali ini jauh berbeza daripada sebelumnya.
Ini kerana revolusi ini dicetuskan oleh DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor. Zaquan percaya pengalaman baginda mengubah Johor Darul Ta’zim (JDT) sebagai sebuah kelab disegani mampu memberi impak positif kepada Harimau Malaya.
“Kita tahu apa yang kita dengar, siapa yang akan dibawa masuk dan mungkin ada pemain yang akan dinaturalisasikan. Jadi, revolusi ini dan siapa yang mencetuskan revolusi ini, kalau kita dengar dari Tunku Mahkota Johor (TMJ).
“Dan kalau kita lihat latar belakang TMJ, macam mana baginda jadikan JDT itu satu kelab terkenal di seluruh dunia.
“Saya mengharapkan revolusi kali ini sesuatu yang lain dari yang lain daripada sebelumnya yang kita harapkan Harimau Malaya gah di pentas dunia,” katanya semasa menjadi panel program Nindia.
Cklamovski diberi misi membawa Harimau Malaya layak ke saingan Piala Asia 2027 dan berada dalam kelompok 100 pasukan terbaik dunia.
Sentuhan Nafuzi pula ditagih untuk kembali memperkasakan skuad Malaysia B-23. Ini bagi membolehkan pasukan itu bersedia menghadapi Kejohanan ASEAN B-23 2025, Sukan SEA 2025 dan pusingan kelayakan Piala Asia B-23 2026.