Zaquan Adha Puji Perubahan Safawi Rasid Di Terengganu
MakanBola
Terengganu FC

Bekas pemain kebangsaan, Zaquan Adha telah memuji perubahan yang dipamerkan oleh Safawi Rasid bersama pasukan Terengganu.

Safawi Rasid yang menyertai Terengganu dari JDT secara pinjaman telah mendapat kepercayaan Tomislav Steinbruckner untuk membarisi kesebelasan utama pasukan dalam tiga perlawanan awal Liga Super.

Zaquan Adha berpendapat impak yang ditampilkan oleh Safawi Rasid di atas padang amat positif dan memuji perubahan pemain kelahiran Terengganu tersebut bagi musim ini.

“Bagi saya walaupun Safawi masih muda tetapi pengalaman beliau tinggi. Kalau lihat permainan Safawi (Kelantan Darul Naim vs Terengganu), dia yang menggerakkan bola, membuka ruang perlawanan dan Safawi ada di situ.

“Kalau saya bila kita pegang lilitan kapten di lengan, akan ada satu sifat iaitu kamu ketua di situ dan segala benda (atas padang) kamu perlu bertanggungjawab. Itu yang saya nampak pada Safawi Rasid.

“Musim lepas saya tak nampak dia terlalu banyak beraksi untuk minit permainan. Tahun ini mungkin dia berpeluang bermain dan memegang tanggunggjawab sebagai ketua pasukan dan saya rasa dia mengambil tanggungjawab itu dengan baik.

“Dia datang untuk menerima bola dan macam mana dia ubah permainan, itu ada pada Safawi Rasid.” ujar Zaquan Adha.

Safawi Rasid kini menjadi pemain penting buat Terengganu apabila mengisi peranan pemain serangan dalam tiga perlawanan awal liga bersama-sama Akhyar Rashid dan Ismahil Akinade.