Zarif Irfan Kembali Kawal Gawang Sri Pahang
MakanBola
Sri Pahang FC

Khidmat penjaga gol, Zarif Irfan Hashimuddin kembali ditagih Sri Pahang FC menjelang aksi separuh akhir pertama Unifi Piala Malaysia.

Sebelum ini, penjaga gol berusia 29 tahun itu tidak dapat diturunkan dalam aksi suku akhir kedua menentang Perak FC pada 22 Disember lalu.

Ad

Ini selepas Zarif perlu menjalani penggantungan perlawanan kerana dilayangkan kad merah dalam aksi suku akhir pertama pada 13 Disember 2024.

Ad

Bekas penjaga gol PKNS FC itu dibuang padang selepas dikesan mengasari tonggak import The Bos Gaurus, Clayton da Silva dalam aksi berkenaan. Perlawanan itu berkesudahan dengan kemenangan tipis 1-0 buat anak buah Fandi Ahmad.

Kini, wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam memaklumkan penjaga gol itu sudah selesai menjalani penggantungan perlawanan. Ini membolehkan beliau kembali mengawal gawang Sri Pahang dalam saingan Unifi Piala Malaysia.

Ad

“Zarif Irfan kembali perkuat Sri Pahang untuk aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia bertemu Sabah selepas tidak beraksi dalam aksi suku akhir kedua bertemu Perak akibat digantung perlawanan,” katanya di X.

Ad

Musim 2024/25 menyaksikan Zarif merekodkan 15 penampilan dalam semua kejohanan, tiga rekod tanpa bolos dan dibolosi 21 kali.

Ad

Tok Gajah berharap dapat kembali ke final buat kali pertama sejak bergelar juara kejohanan itu pada 2014.

Sri Pahang bakal berdepan Sabah FC di Stadium Likas pada 18 Januari. Ini disusuli aksi timbal balik di Stadium Temerloh pada 2 Februari ini.