Kerusi hangat selaku pengendali Arab Saudi tampak menjadi saingan beberapa nama besar termasuklah bekas Zinedine Zidane.
Terdahulu, Arab Saudi mengumumkan perpisahan dengan bekas jurulatih, Roberto Mancini secara persetujuan bersama setelah 14 bulan membawa jaguh Asia itu sejak Ogos 2023.
”Lembaga Pengarah Persekutuan Bola Sepak Arab Saudi dan jurulatih pasukan kebangsaan, Roberto Mancini, mencapai persetujuan bersama hari ini, termasuk penamatan kontrak,” umum Saudi National Team di laman X.
Perkara ini menyebabkan pengganti kepada Mancini selaku ketua jurulatih The Green Falcons mula menjadi tanda tanya dalam kalangan peminat bola sepak khususnya di Arab Saudi.
Menerusi laporan Corriere della Serra, nama bekas jurulatih Real Madrid, Zinedine Zidane antara yang dicanang bakal menggalas jawatan penting bagi mengemudi juara Asia tiga kali itu.
Zidane kini masih bergelar ejen bebas setelah kali terakhir membimbing Real Madrid pada musim 2016-2018 dan 2019-2021 selain memenangi 2 kejuaraan La Liga dan 3 kali UCL.
Selain Zidane, dua lagi calon yang turut diperkatakan adalah Herve Renard yang pernah membawa Arab Saudi di pentas Piala Dunia lalu dan melakar kemenangan bersejarah 2-1 ke atas Argentina.
Ramon Diaz yang kini melatih Corithians di Brazil juga antara nama yang dipertimbangkan memandangkan pengalaman pengendali ini yang sebelum ini membimbing Al Hilal di Arab Saudi.
Arab Saudi kini menduduki tangga ke-3 kumpulan H dengan 5 mata selepas mencatat satu kemenangan dua keputusan seri dan satu kekalahan dalam empat perlawanan.
Selepas ini, Arab Saudi bakal berdepan dua aksi penting bertemu Australia di Melbourne dan juga Indonesia di Jakarta pada pertengahan November hadapan.