Pelakon terkenal tanah air, Zizan Razak dilaporkan bakal menceburi bidang sukan permotoran tidak lama lagi.
Zizan yang ditemui ketika menandatangani kontrak bersama Sepang International Circuit (SIC) berkata, syukur kerana diberi peluang untuk terlibat dalam sukan permotoran ini dan akan menggunakannya sebaik mungkin.
”Alhamdulillah, saya sangat bersyukur dan tak sangka akan terpilih. Saya akan rancang sebaiknya kerana peluang ini bukan selalu datang dalam hidup saya,” ujar Zizan dalam satu hantaran video di laman Instagram.
Menurut Zizan, perasaan gugup itu tetap ada meskipun bakal dilatih dan dibimbing oleh bekas pelumba MotoGP negara, Zulfahmi Khairuddin dalam masa kurang sebulan dari sekarang.
” Kalau tanya saya, memang gementar, ini bukan perkara biasa dalam hidup saya tetapi setelah berbincang bersama Petronas SIC, mereka cadang dan beri jurulatih terbaik iaitu, Zulfahmi Khairuddin.”
”Kita masa dah tak lama, lebih kurang empat minggu dan sebelum ini pun saya banyak turun berlatih tapi saya tak shoot,” tambah selebriti berusia 40 tahun itu.
Ketika ditanya mengenai perancangan dalam sukan lumba motor ini, Zizan berkata, ini bakal bergantung kepada persembahan beliau di Sepang nanti selain penajaan dari pihak luar.
”Ini mengenai kehidupan saya, tetapi kalau tanya saya, ini bergantung kepada prestasi atau pencapaian saya macam mana, kalau saya berjaya di sini, ini membuktikan saya perlu teruskan dalam bidang (permotoran) ini.”
”Ini juga perlu bergantung kepada penaja juga, walau apa pun yang terjadi, saya nak (rakyat) Malaysia menyokong saya dan doakan yang terbaik untuk saya,”
Saingan MotoGP bakal berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang bermula 1 hingga 3 November ini dengan tiket sudah mula dijual di laman web Petronas SIC sekarang.