Selebriti terkemuka tanah air, Zizan Razak mengharapkan sokongan penuh dari rakyat Malaysia untuk menceburi bidang permotoran tidak lama lagi.
Terdahulu, Zizan atau nama sebenarnya ialah Razizan Abdul Razak dilaporkan bakal beralih bidang ke sukan lumba motor apabila selesai menandatangani kontrak bersama Sepang International Circuit (SIC).
Menurut Zizan, beliau bersyukur kerana dipilih oleh pihak SIC dan berjanji bakal memanfaatkan sepenuhnya peluang yang diberikan dengan memberikan yang terbaik.
”Alhamdulillah, saya sangat bersyukur dan tak sangka akan terpilih. Saya akan rancang sebaiknya kerana peluang ini bukan selalu datang dalam hidup saya,” ujar Zizan kepada pihak media.
Meski berdepan tekanan untuk memulakan cabaran baharu, namun Zizan lega apabila bakal dibantu oleh bekas pelumba negara, Zulfahmi Khairuddin bagi membuat persiapan dalam tempoh sebulan.
“Kalau tanya saya, memang gugup, ini bukan perkara biasa dalam hidup saya tetapi setelah berbincang dengan Petronas SIC, mereka cadang dan beri jurulatih terbaik iaitu, Zulfahmi Khairuddin.”
”Kita masa dah tak lama, lebih kurang empat minggu dan sebelum ini pun saya banyak turun berlatih tapi saya tak shoot,” kata pelakon Abang Long Fadil tersebut.
Ketika ditanya mengenai perancangannya dalam bidang ini, Zizan berkata, ini bakal bergantung kepada persembahannya di Sepang nanti dan menagih sokongan penuh dari seluruh rakyat Malaysia.
”Ini mengenai kehidupan saya, tetapi kalau tanya saya, ini bergantung kepada prestasi atau pencapaian saya macam mana, kalau saya berjaya di sini, ini membuktikan saya perlu teruskan dalam bidang (permotoran) ini.”
”Ini juga perlu bergantung kepada penaja juga, walau apa pun yang terjadi, saya nak (rakyat) Malaysia menyokong saya dan doakan yang terbaik untuk saya,”
Saingan MotoGP bakal berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang bermula 1 hingga 3 November ini dengan tiket sudah mula dijual di laman web Petronas SIC sekarang.