Real Madrid meneruskan usaha memburu trofi Piala Dunia Kelab apabila menyingkirkan kelab gergasi Itali, Juventus dalam aksi terbaru pusingan 16.
Kedua-dua kelab turun dengan misi meneruskan pemburuan trofi sulung untuk jurulatih baharu mereka, Xabi Alonso dan Igor Tudor.
Alonso mengekalkan formasi 3-5-2 dengan Vinicius Jr dan Gonzalo Garcia mengetuai jentera serangan. Randal Kolo Muani mengetuai jentera serangan La Vecchia Signora.
Separuh masa pertama menyaksikan Juventus hampir mendahului seawal minit ketujuh. Kolo Muani hanya perlu menewaskan Thibaut Courtois tetapi percubaannya hanya melepasi palang gol.
Real Madrid juga hampir membuka tirai jaringan pada minit ke-30. Danielle Rugani bertindak pantas menghalang bola rembatan Jude Bellingham sebelum sempat melepasi garisan gol.
Penjaga gol Juventus, Michele Di Gregorio bertindak pantas menghalang rembatan deras kapten Los Blancos, Federico Valverde pada minit akhir babak pertama.
Tindakan cemerlang bekas penjaga gol AC Monza itu memastikan kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan sehingga rehat.
Bersambung selepas rehat, kedua-dua pasukan saling mengasak untuk memburu gol pembukaan.
Kesungguhan Real Madrid memburu gol akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-54. Garcia menanduk hantaran Trent Alexander-Arnold yang gagal diselamatkan Di Gregorio.
Tersentak, La Vecchia Signora hampir menyamakan kedudukan dua minit selepas itu menerusi Francisco Conceicao. Malangnya, rembatan lencong beliau berjaya diselamatkan Courtois.
Alonso kemudiannya memasukkan Kylian Mbappe sebagai pemain gantian pada minit ke-68. Ini penampilan pertama beliau dalam Piala Dunia Kelab selepas terpaksa berehat akibat masalah gastroenteritis.
Los Blancos hampir menggandakan kelebihan mereka menerusi Arda Guler empat minit selepas itu. Di Gregorio sekali lagi cemerlang menafikan percubaan bintang muda Turkiye itu.
Juventus terus memburu jaringan penyamaan tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan. Real Madrid kini menunggu pemenang antara Borussia Dortmund dan Monterrey sebagai lawan di peringkat suku akhir.
Seandainya Monterrey menang, ini akan menemukan Los Blancos dengan bekas orang besi Sepanyol, Sergio Ramos. Ramos merekodkan 671 penampilan bersama Real Madrid.
Sofascore memilih Di Gregorio sebagai pemain terbaik perlawanan dengan markah 9.3. Beliau jauh meninggalkan Valverde yang meraih 8.4 mata.