Bek kanan baharu Real Madrid, Trent Alexander-Arnold tidak dapat memakai nombor jersi 66 gara-gara peraturan unik ini.
Real Madrid mengumumkan ketibaan Trent Alexander-Arnold dalam suatu majlis pengenalan yang berlangsung di Santiago Bernabeu yang turut dihadiri oleh Presiden, Florentino Perez.
Sungguhpun begitu, hasrat Alexander-Arnold untuk memiliki dan menyarung jersi nombor 66 seperti di Liverpool tampak tidak kesampaian disebabkan oleh peraturan tersendiri dari LaLiga.
Menurut garis panduan rasmi LaLiga, pemain pasukan utama wajib memakai nombor antara 1 hingga 25 manakala nombor 26 hingga 50 pula dikhaskan hanya untuk para pemain skuad simpanan.
Peraturan yang hanya terpakai di LaLiga ini memaksa pemain kebangsaan England ini didaftarkan dengan nombor 12 oleh kerana cuma nombor tersebut masih tersedia selain nombor 18.
Sebelum ini, nombor 12 dipakai oleh pemain tengah Perancis, Eduardo Camavinga, namun beliau telah menukar ke nombor 6 pada musim lalu selepas ketiadaan pertahanan, Nacho Fernandez.
Di Real Madrid, nombor 12 ini dianggap ikonik kerana pernah dipakao oleh lagenda yang juga bek kiri terbaik iaitu Marcelo sepanjang karier bersama The Galacticos dan memenangi 25 trofi.
Penampilan sulung Alexander-Arnold bersama Real Madrid dijangka akan dapat disaksikan pada kejohanan Piala Dunia Kelab 2025 menentang kelab gergasi Asia, Al-Hilal pada 19 Jun hadapan.