Jurulatih Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak kurang berpuas hati dengan kualiti penyudah pasukannya meskipun berjaya mara ke final Piala FA.
Ini kerana pada hematnya, Kuching City mampu layak ke final lebih awal jika berjaya menyempurnakan peluang menentang Selangor FC.
“Pada pendapat saya, semua pemain telah berusaha dengan sangat gigih malam ini. Saya rasa mereka memang layak mendapat kemenangan ini. Persembahan mereka benar-benar hebat.
“Mereka tahu apa yang diperlukan untuk menang malam ini. Sejak dari awal lagi, kami mampu mencipta begitu banyak peluang sepanjang 90 minit permainan. Malah, kami menguasai perlawanan tersebut,” katanya selepas perlawanan.
Pada masa sama, Aidil Sharin tetap memuji semangat juang anak buahnya yang beraksi selama 120 minit untuk menempah tiket final.
“Dan saya rasa hari ini kita telah membuktikan identiti Kuching City. Kita akan melangkah ke satu lagi aksi final.
“Jadi, Alhamdulillah, saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua pemain, barisan kejurulatihan, penyokong dan keluarga yang sanggup datang jauh sehingga stadium penuh pada malam ini,” tambahnya.
Kuching City mara dengan meraih kemenangan 2-0 dalam aksi timbal balik. Selepas menyamakan kedudukan menerusi penalti Safawi Rasid, gol sendiri Mukhairi Ajmal menjamin tiket final milik tuan rumah.
The Cats bakal berdepan juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) di pentas final pada 16 Januari 2027.


