Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh kini menghela nafas lega kerana kerja penggantian rumput cowgrass kepada Zeon Zoysia di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) telah selesai.
Usaha penggantian rumput ini merupakan sebahagian daripada kerja-kerja penambahbaikan ke atas SNBJ yang digerakkan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM).
Usaha penggantian rumput tersebut direalisasikan menerusi tajaan dana daripada DYAM TMJ, Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim.
Dan selepas dirasmikan baginda dalam satu majlis semalam, maka tamatlah usaha yang memakan masa 10 bulan itu.
Walaupun usaha ini memakan masa lama, keadaan padang SNBJ yang cantik dan berkualiti mendapat pujian ramai di media sosial.
“10 bulan selesai,” kata Hannah secara ringkas di akaun X beliau semalam. Sebaik status itu dimuatnaik, ramai memuji hasil kerja beliau dan berharap kolaborasi sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang.
Padang baru SNBJ ini bakal digunakan buat kali pertama untuk aksi pertama Pestabola Merdeka 2023 membabitkan Malaysia dan India malam ini.