Skuad Malaysia ke Piala AFF B-19 di Surabaya, Indonesia bakal diperkuat seramai 10 orang pemain dari pasukan Selangor FC.
Pada kejohanan tersebut, skuad negara yang juga merupakan juara bagi edisi 2022 yang lalu telah diundi berada di dalam kumpulan C bersama-sama Thailand, Singapura dan Brunei.
Menerusi satu hantaran di media sosial rasmi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menyaksikan seramai 36 pemain telah dipanggil oleh Juan Torres Garrido untuk menjalani kem latihan kebangsaan menjelang kejohanan tersebut.
Daripada 36 pemain tersebut, 10 pemain yang dipanggil merupakan tonggak utama buat pasukan Selangor FC yang terdiri daripada skuad utama, bawah 23, bawah 20 dan bawah 18 tahun.
Antara pemain Selangor yang dipanggil ialah Muhammad Abu Khalil, Muhammad Farish Farhan, Aidiel Zacharia, Ahmad Ariz Zuhayr, Izzat Muhammad Syahir, Mohd Zamirul Hakim, Muhamad Aiman Hakimi, Muhammad Nur Zharif, Muhammad Amirul Izwan dan Mohamad Haykal Danish.
Selain pemain Selangor, skuad bawah 19 tahun negara turut diperkuat dengan seramai 10 orang pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), 3 pemain Akademi Mokhtar Dahari (AMD), 3 pemain dari Terengganu III dan 2 pemain dari Negeri Sembilan, Penang dan Sabah.
Manakala Kedah Darul Aman B, Kelantan Darul Naim B, Melaka FA dan Perak akan disertai oleh seorang pemain untuk menjalani kem latihan pusat bermula 2 Jun di Akademi Mokhtar Dahari, Gambang.
Skuad bawah 19 tahun kebangsaan akan memulakan aksi di kejohanan ini dengan menentang Brunei pada 19 Julai dan Singapura pada 22 Julai sebelum turun dalam perlawanan terakhir kumpulan berdepan Thailand tiga hari kemudian.