Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersama Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) akan menyediakan tayangan skrin besar di 14 lokasi terpilih untuk penyokong bola sepak menonton perlawanan Malaysia dan Chinese Taipei.
Tayangan perlawanan di skrin besar ini merupakan sebahagian daripada inisiatif kerajaan untuk menggalakkan sokongan rakyat kepada Harimau Malaya.
Skuad negara yang dibimbing Kim Pan-gon bakal berentap dengan The Blue Wings di Stadium Nasional Bukit Jalil untuk aksi terakhir Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026 pada 11 Jun ini.
Berikut senarai lokasi tayangan skrin besar yang disediakan oleh pihak KBS dan JBSN:
- Dataran Putrajaya, Presint 13
- AEON Mall, Kota Bharu
- Ngepot Kabin, Kluang
- Dataran Dato’ Sheikh Ahmad, Kangar
- Kompleks Belia dan Sukan Negeri Kedah, Alor Setar
- Dewan Gerakan Masyarakat Perda Kg. Sungai Duri, Jawi
- Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya
- Kompleks Belia dan Sukan Negeri Sembilan, Paroi
- UiTM Cawangan Melaka, Kampus Bandaraya Melaka
- UMS Kampus Antarabangsa Labuan
- Dataran Uptown Belia, Beaufort
- Kompleks Paya Bunga Sentral, Kuala Terengganu
- Padang MBK 1, Kuantan
- Dataran Perayaan, Petra Jaya, Kuching
Perlawanan ini amat penting buat Harimau Malaya. Ini kerana perlawanan ini bukan saja peluang terakhir skuad negara mengisi lima slot terakhir kelayakan ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026.
Malah, ini juga peluang terakhir buat skuad negara untuk mengesahkan kelayakan lebih awal ke Piala Asia 2027 yang diadakan di Arab Saudi.
Ketika ini, Malaysia berada di tangga ketiga Kumpulan D dengan tujuh mata selepas mengharungi lima perlawanan kelayakan. Ini selepas skuad negara seri 1-1 dengan Kyrgyzstan pada Khamis lepas.