Korea Selatan mengetuai enam lagi pasukan yang mengesahkan kemaraan ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026.
Footy Rankings memaklumkan Korea Selatan, Jordan, Palestin, Bahrain, Oman dan Arab Saudi menyertai tujuh lagi negara yang mengesahkan kemaraan lebih awal.
Tujuh negara itu ialah Qatar, Iran, Uzbekistan, Australia, Iraq, Jepun dan Emiriah Arab Bersatu (UAE). Selain layak ke pusingan ketiga kelayakan, 13 negara ini turut mara secara merit ke Piala Asia 2027.
Pahlawan Taeguk yang dibimbing jurulatih interim Kim Do-hoon mengesahkan kemaraan dari Kumpulan C selepas membelasah Singapura 7-0 di Stadium Nasional Singapura semalam.
Jordan dan Arab Saudi masing-masing mengesahkan kemaraan sebagai wakil Kumpulan G selepas menewaskan Pakistan dan Tajikistan.
Meskipun sekadar seri tanpa jaringan dengan Lubnan awal pagi tadi, itu sudah cukup buat Palestin layak ke pusingan ketiga kelayakan buat kali pertama dalam sejarah.
Keputusan seri 0-0 antara Bahrain dengan Yaman turut membantu pasukan Asia Barat itu mengiringi UAE layak dari Kumpulan H.
Manakala Oman pula mara selaku juara Kumpulan D selepas selesa menewaskan Chinese Taipei 3-0 di Taipei semalam.
Kini, hanya tinggal lima slot kelayakan yang menjadi rebutan dalam Kumpulan A, B, C, D dan F. Salah satu slot berkenaan diintai Harimau Malaya dalam Kumpulan D.
Penentuan lima pasukan terakhir yang mengikut jejak 13 pasukan ini bakal diketahui pada 11 Jun ini.