Tarikh untuk aksi persahabatan antarabangsa membabitkan India dan Malaysia pada November ini akhirnya diketahui.
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan aksi tersebut bakal diadakan di Stadium Gachibowli, Hyderabad pada 18 November ini.
Sebelum ini, aksi antara kedua-dua pasukan dijadualkan pada 19 November. Walau bagaimanapun, selepas mengadakan perbincangan dengan Persekutuan Bola Sepak Seluruh India (AIFF), tarikh aksi tersebut dianjakkan sehari lebih awal kepada 18 November.
“Pada pengumuman sebelum ini, perlawanan menentang India dijadual pada 19 November, namun atas persetujuan bersama, ia diawalkan sehari ke Isnin, 18 November 2024 dengan perlawanan akan berlangsung di Stadium Gachibowli, Hyderabad,” kata FAM dalam satu kenyataan.
Dengan pengumuman ini, maka lengkaplah dua aksi persahabatan antarabangsa yang direncana buat anak buah Pau Marti Vicente pada bulan hadapan.
Skuad negara akan menentang Laos terlebih dahulu di Bangkok, Thailand pada 14 November. Setelah itu, Harimau Malaya akan berentap dengan anak buah Manolo Marquez empat hari kemudian.
India bakal menjadikan aksi tersebut sebagai peluang membalas dendam terhadap Harimau Malaya. Ini selepas The Blue Tigers tewas 4-2 kepada skuad negara dalam aksi Pestabola Merdeka 2023.
Dion Cools, Arif Aiman Hanapi, Faisal Halim dan Corbin Ong mencetak nama sebagai penjaring dalam aksi berkenaan. Manakala India membalas menerusi Naorem Mahesh Singh dan penyerang legenda, Sunil Chhetri.