Aksi persahabatan antarabangsa antara Malaysia dan Laos pada November ini bakal diadakan di Thailand dan bukannya Laos.
Sebelum ini, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan Laos sebagai lawan kedua Harimau Malaya untuk aksi persahabatan antarabangsa pada bulan hadapan.
Pengumuman ini sekaligus menamatkan desas-desus tentang siapa lawan yang bakal dihadapi anak buah Pau Marti Vicente selepas India.
Pemilihan Thailand atau lebih tepat Stadium Port of Authority Thailand (PAT), Bangkok dibuat kerana mengambil kira beberapa faktor.
Pertama, Stadium Nasional New Laos yang selalu digunakan untuk aksi Million Elephants tidak boleh digunakan pada 14 November ini. Ini kerana stadium ini digunakan untuk aksi kelayakan Piala Dunia 2026 antara Korea Utara dengan Iran.
Kedua, ini dilihat memudahkan urusan skuad Laos yang dibimbing jurulatih Korea Selatan, Ha Hyeok-jun. Ini kerana pasukan itu bakal berdepan Thailand pada 17 November ini.
Ketiga, Laos tidak berada dalam Kumpulan A dalam saingan ASEAN Championship 2024. Sebaliknya, pasukan itu berada dalam Kumpulan B bersama Indonesia, Vietnam, Filipina dan Myanmar.
Perkara ini turut disahkan Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman bila ditanya tentang pemilihan Laos sebagai lawan Harimau Malaya.
“Kita harus tahu bahawa 18 pasukan terbaik dari Asia sudah ada jadual masingmasing sehingga tahun depan iaitu menghadapi Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026.
“Malah, Pau Marti selaku ketua jurulatih juga membuat keputusan untuk tidak mengatur perlawanan persahabatan menentang empat pasukan dari Asia Tenggara iaitu Singapura, Thailand, Kemboja dan Timor Leste kerana mereka dalam satu kumpulan dengan kita pada Piala Mitsubishi Electric ASEAN 2024, Disember ini,” katanya.
Selepas menentang Laos, skuad negara akan terbang ke India untuk menghadapi cabaran The Blue Tigers. Tarikh aksi tersebut akan diumumkan dalam masa terdekat.