Laos bakal menjadi lawan Malaysia untuk aksi persahabatan antarabangsa yang akan diadakan pada November ini.
Ini selepas aksi berkenaan diumumkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di laman sesawang rasmi badan induk itu.
Dengan pengumuman ini, maka lengkaplah dua aksi persahabatan antarabangsa yang bakal dihadapi Harimau Malaya pada November ini. Sebelum ini, India bakal menjadi lawan skuad negara pada bulan hadapan.
Malaysia akan menentang Laos di Stadium Port Authority of Thailand (PAT), Bangkok, Thailand pada 14 November ini.
Stadium ini menjadi pilihan kerana Stadium Nasional New Laos telah dipilih sebagai venue alternatif untuk aksi pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026 antara Korea Utara dan Iran pada hari yang sama.
Selain itu, pemilihan Bangkok juga dibuat bagi memudahkan aturan anak buah Ha Hyeok-jun itu. Ini kerana Million Elephants bakal berdepan Thailand pada 17 November ini.
Selepas itu, barulah skuad negara berangkat ke India untuk memenuhi komitmen perlawanan dengan The Blue Tigers. Tarikh aksi tersebut akan dimaklumkan FAM dalam masa yang terdekat.
Kali terakhir Malaysia bertemu Laos ialah aksi ASEAN Championship 2022. Aksi itu berkesudahan dengan kemenangan 5-0 buat Harimau Malaya.
Faisal Halim, Haqimi Azim Rosli, Sergio Aguero dan Stuart Wilkin mencetak nama sebagai penjaring pada 24 Disember 2022.