Tiga calon panas berpotensi mengisi kekosongan yang bakal ditinggalkan jurulatih beregu lelaki Malaysia, Tan Bin Shen.
Bin Shen bakal meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selepas tamat saingan Malaysia Open 2025. Beliau dijangka kembali bekerjasama dengan legenda badminton negara, Wong Choon Han di Hong Kong.
Berikut tiga calon hangat yang berpotensi melatih beregu lelaki negara.
3- Chan Chong Ming
Seandainya BAM memilih untuk merekrut jurulatih tempatan sebagai pengganti Bin Shen, nama Chong Ming antara calon yang berpotensi.
Beliau memiliki pengalaman sebagai beregu lelaki nombor satu dunia bersama regunya ketika itu, Chew Choon Eng pada 2002.
Selepas menggalas peranan sebagai jurulatih beregu wanita oleh BAM pada 2020, Chong Ming bertanggungjawab membentuk beregu wanita negara mencapai pelbagai kejayaan.
Selain membantu Pearly Tan-M. Thinaah muncul juara Swiss Open 2021, beliau turut membantu Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020. Chong Ming kemudiannya meletak jawatan sebagai jurulatih beregu wanita pada Disember 2021.
2- Mathias Boe
Legenda badminton Denmark ini memiliki pengalaman sebagai beregu nombor satu dunia bersama regunya, Carsten Morgensen. Beliau turut membantu Denmark muncul juara Thomas Cup 2016.
Pencapaian itu kemudiannya diulangi apabila Boe menerima tawaran melatih beregu India menggantikan pengendali Malaysia, Tan Kim Her. Beregu lelaki India seperti Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty membantu negara itu muncul juara Thomas Cup 2022.
Rankireddy-Shetty turut memastikan India meraih pingat emas untuk acara beregu lelaki dalam temasya Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China.
Boe sebelum ini mengumumkan persaraan dari dunia kejurulatihan selepas temasya Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis.
Seandainya legenda Denmark itu memilih untuk menerima tawaran BAM, beliau bakal bekerjasama dengan rakan senegara, Kenneth Jonassen. Jonassen telah menerima tawaran BAM untuk menggalas peranan sebagai ketua jurulatih pemain perseorangan.
1- Herry Iman Pierngadi
Herry antara calon pilihan yang dijangka mengisi kekosongan yang ditinggalkan Bin Shen. Beliau ketika ini berstatus ejen bebas selepas khidmatnya tidak dikekalkan Persatuan Bulutangkis Seluruh Indonesia (PBSI).
Herry bertanggungjawab menghasilkan beregu lelaki handalan seperti Tony Gunawan-Candra Wijaya, Hendra Setiawan-Markis Kido, Marcus Fernaldi Gideo-Kevin Sanjaya Sukamuljo dan Fajar Alfian-Rian Ardianto.
Seandainya BAM mahu mendapatkan khidmat beliau, badan induk itu perlu bertindak pantas. Ini kerana Persatuan Badminton China (CBA) turut berminat mendapatkan khidmat Herry.
Kehadiran jurulatih berpengalaman Indonesia itu dilihat bakal membantu barisan beregu lelaki negara terutama untuk saingan Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles, Amerika Syarikat.