Jurulatih beregu lelaki negara, Tan Bin Shen bakal meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selepas berkhidmat selama lima tahun.
BAM memaklumkan Bin Shen bakal meninggalkan badan induk itu selepas tamat kejohanan pertama antarabangsa tahun 2025, Malaysia Open 2025. Kejohanan itu bakal berlangsung dari 7 hingga 12 Januari 2025.
“Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengumumkan jurulatih kebangsaan, Tan Bin Shen bakal meninggalkan persatuan pada 13 Januari 2025.
“Persatuan menzahirkan rasa terima kasih yang tidak terhingga kepada Bin Shen atas dedikasi dan sumbangannya kepada badminton Malaysia terutama dari segi pencapaian bekas juara dunia dan pemenang pingat Olimpik, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik,” kata badan induk itu dalam satu kenyataan.
Bin Shen bangga dengan pencapaian yang dilakar sepanjang tempoh lima tahun bersama beregu lelaki kebangsaan. Justeru, beliau tidak sabar untuk menghadapi cabaran baru.
“Ia satu pengembaraan yang memuaskan iaitu bekerja bersama pasukan beregu lelaki. Saya bangga dengan apa yang kita capai bersama dan saya bersedia untuk cabaran baru di hadapan,” katanya.
Bin Shen menyertai barisan kejurulatihan BAM pada 2020 sebagai pembantu jurulatih kepada jurulatih ketika itu, Flandy Limpele.
Selepas Flandy meninggalkan BAM pada 2022, Bin Shen menggalas peranan sebagai jurulatih beregu lelaki negara. Beliau bukan saja menggilap bakat Aaron-Wooi Yik sebagai antara beregu terbaik dunia.
Bin Shen turut membentuk barisan beregu lelaki pelapis yang kini berada dalam kelompok 30 beregu lelaki terbaik dunia.
Mereka ialah Man Wei Chong-Tee Kai Wun (ranking ke-14), Choong Hon Jian-Haikal Nazri (ranking ke-20) dan Arif Junaidi-Yap Roy King (ranking ke-21).
Pemergian Bin Shen dijangka menyemarakkan spekulasi siapa yang bakal dibawa masuk BAM sebagai pengganti. Antara nama yang berlegar ketika ini ialah jurulatih berpengalaman dari Indonesia, Herry Iman Pierngadi.
Herry memilih meninggalkan Persatuan Bulutangkis Seluruh Indonesia (PBSI) selepas 25 tahun untuk mencari cabaran baru. Sebelum ini, beliau bertanggungjawab melatih beregu campuran Indonesia.
Herry bertanggungjawab membentuk barisan beregu lelaki handalan Indonesia seperti Tony Gunawan-Candra Wijaya, Hendra Setiawan-Markis Kido, Marcus Fernaldi Gideo-Kevin Sanjaya Sukamuljo dan Fajar Alfian-Rian Ardianto.