3 Calon Jurulatih Luar Negara Kemudi Negeri Sembilan
MakanBola
NSFC/TFF

Tiga jurulatih import dilihat mampu menjadi calon terbaik untuk mengemudi pasukan Negeri Sembilan FC.

Baru-baru ini, skuad Jang mengumumkan bahawa pasukan telah berpisah dengan ketua jurulatih, Nidzam Jamil susulan aksi hambar pasukan.

Nidzam hanya merekodkan 29 peratus kemenangan selepas lebih setengah musim bersama Negeri Sembilan, berjaya mencatatkan tujuh kemenangan, enam seri dan 11 kekalahan daripada 24 perlawanan.

Beberapa pengendali import diihat mampu menjadi taruhan pasukan Selatan tanah air itu tatkala pencabar Liga Super yang lain telah menggunakan khidmat pengendali luar negara.

Antara calon yang paling layak mengemudi  Negeri Sembilan ialah bekas ketua jurulatih pasukan kebangsaan Thailand, Masatada Ishii.

Jurulatih berusia 60 tahun itu memiliki pengalaman luas pada peringkat Asia khususnya di Asia Tenggara bersama Thailand.

Beliau dilihat sesuai dengan penerapan DNA Jepun di Negeri Sembilan yang memiliki ramai pemain import dari negara matahari terbit itu.

Sebagai rekod, Ishii mencatat 11 kemenangan, lima seri dan enam kekalahan bersama pasukan terakhirnya iaitu BG Pathum United sebelum mengumumkan perpisahan.

Seterusnya, bekas jurulatih Lion City Sailors, Aleksandar Rankovic juga menjadi antara jurulatih hebat yang mampu mengubah cerita di Paroi.

Pengendali kelahiran Serbia berusia 47 tahun itu melatih The Sailors selama tiga musim dan berjaya merekodkan purata 2.05 mata daripada 102 perlawanan bersama jaguh Singapura itu.

Beliau membantu Lion City Sailors beraksi di AFC Champions League Elite (ACLE) 2023/24, AFC Champions League Two (2024-2026) dan juga ACC Shopee Cup 2025-26.

Calon terakhir ialah pengendali kelahiran Croatia, Peter Segrt. Jurulatih berusia 60 tahun itu memiliki pengalaman luas dalam bidang kejurulatihan khususnya di Asia Tenggara.

Beliau yang kali terakhir bersama pasukan kebangsaan Tajikistan (2022-2024) pernah melatih kelab Indonesia iaitu Bali Devata (2011) dan juga PSM Makassar (2011-2013).

Segrt juga pernah membawa Tajikistan beraksi pada pentas Piala Asia 2023 Qatar sehingga ke peringkat suku akhir sebelum tewas kepada Jordan dengan keputusan 1-0.