Ketiadaan Joao Figueiredo memaksa Johor Darul Ta’zim (JDT) meneliti beberapa calon terbaik bagi aksi penting bertemu Sanfrecce Hiroshima di pentas AFC Champions League Elite (ACLE).
Joao Figueiredo antara watak utama JDT ketika menewaskan Sanfrecce Hiroshima 3-1 dalam perlawanan timbal balik pertama pusingan 16 terbaik ACLE minggu lalu di Stadium Sultan Ibrahim.
Walau bagaimanapun, khidmat penyerang kelahiran Brazil ini terpaksa disisihkan menjelang aksi timbal balik kedua setelah beliau kembali menjalani hukuman penggantungan oleh FIFA sehingga November.
Meskipun tanpa Figueiredo, terdapat beberapa pemain yang dilihat mampu untuk mengisi kekosongan tersebut di jentera serangan sekali gus dijangka bergandingan bersama Jairo Da Silva.
1- Bergson Da Silva
Nama Bergson sudah tentunya tidak perlu diperkenalkan lagi selepas penyerang berbisa ini memiliki kualiti tersendiri bagi mengisi tempat Joao Figueiredo di barisan hadapan dengan misi memburu jaringan.
Buktinya, Bergson masuk di babak kedua dalam aksi minggu lalu dan cemerlang melakar nama selaku penjaring gol kedua sekali gus membuktikan ketajaman beliau untuk beraksi pada bila-bila masa.
2- Ager Aketxe
Tonggak tengah kelahiran Sepanyol ini juga dianggap antara calon yang sesuai bagi tersenarai dalam kesebelasan utama petang ini untuk bergerak di belakang penyerang tunggal di bahagian serangan.
Ciri versatile yang ada pada Ager Aketxe menjadi satu nilai tambah buatnya untuk bergerak bebas dan mencari ruang buat rakan sepasukan bagi membuat asakan ke arah kubu lawan.
3- Manuel Hidalgo
Kelibat Manuel Hidalgo turut dilihat sebagai antara pengganti terbaik Joao Figueiredo, dan beraksi selaku penyerang kedua sambil diberi kebebasan untuk melakukan umpanan atau pun percubaan sendiri.
Kebolehan pemain dari Argentina ini tidak boleh dipertikaikan apabila beliau sering kali mencipta impak segera andai diberi peluang oleh Xisco Munoz dan dilihat bersedia untuk beraksi di mana-mana posisi.
Aksi antara Sanfrecce Hiroshima vs JDT akan berlangsung hari ini di Edion Peace Wing Hiroshima tepat jam 6 petang waktu Malaysia secara langsung di Astro Arena Bola.