Negeri Sembilan FC bakal menghadapi tiga pasukan Asia Tenggara sebagai persiapan menghadapi musim 2025/26.
Tiga pasukan yang dimaksudkan ialah Semen Padang (Indonesia), Svay Rieng (Kemboja) dan Tanjong Pagar United (Singapura).
Ini selepas pengurusan Negeri Sembilan mengumumkan senarai perlawanan pra-musim yang akan dihadapi pasukan itu sepanjang bulan Julai.
“Skuad Liga Super memulakan kempen pra-musim berhadapan dengan 3 aksi persahabatan dan 1 perlawanan merebut Piala Serumpun 2025,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Satu-satunya pasukan tempatan yang bakal menguji keserasian anak buah Nidzam Jamil ialah Kelantan Red Warrior FC (KRW FC).
Kelantan RW membuka tirai siri aksi ujian Sang Rusa pada 12 Julai. Ini disusuli aksi menentang Svay Rieng pada 18 Julai.
Tiga hari selepas itu, Negeri Sembilan dan Kabau Sirah pula akan berentap untuk merebut trofi Piala Serumpun 2025.
Tanjong Pagar United menutup siri pra-musim Sang Rusa pada 28 Julai. Ini kali kedua kedua-dua pasukan bertemu sejak Mei 2024.
Negeri Sembilan dijangka menurunkan ramai pemain baharu termasuk Azri Ghani, Khuzaimi Piee, Hakimi Abdullah dan Luqman Hakim Shamsudin.