Advertising
Pra-Musim: Negeri Sembilan Atasi Tentangan Hebat Tanjong Pagar United
MakanBola
Negeri Sembilan FC

Negeri Sembilan FC terpaksa bekerja keras sebelum mengatasi cabaran kelab Singapore Premier League (SPL), Tanjong Pagar United dalam aksi pra-musim terbaru 2024/25.

Negeri Sembilan mahu meneruskan momentum kemenangan selepas mengalahkan Malaysian University 2-0 pada 2 Mei lalu.

Sementara Tanjong Pagar pula berharap dapat merekodkan satu lagi kemenangan selepas pulang dari kem latihan yang diadakan di Yogyakarta, Indonesia baru-baru ini.

Ad

Babak pertama menyaksikan tuan rumah berusaha memburu gol awal menerusi trio Hein Htet Aung, Mika Junco dan Takumi Sasaki.

Ad

Sasaki menjadi duri dalam daging kepada pertahanan pelawat dengan kerap melakukan percubaan ke arah gawang The Jaguars yang dikawal Fashah Iskandar.

Bekas pemain Ehime FC itu menguji kecekapan Fashah menerusi rembatan deras pada minit ke-18. Walau bagaimanapun, percubaannya dinafikan penjaga gol berusia 29 tahun itu.

Ad
Ad

Tatkala peminat Negeri Sembilan menyangka babak pertama bakal berakhir tanpa jaringan, Zainal Abidin Jamil menceriakan Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi dengan gol pada minit ke-41.

Ad

Gol tersebut memastikan skuad Rusa memiliki kelebihan satu gol sehingga rehat separuh masa.

Bersambung pada babak kedua, Tanjong Pagar yang dibimbing jurulatih Hasrin Jailani berusaha mendapatkan gol penyamaan.

The Jaguars menyangka mendapat gol penyamaan pada minit ke-61 menerusi gol sendiri pemain Negeri Sembilan.

Malangnya, keceriaan pelawat tidak bertahan lama apabila gol tersebut dibatalkan pengadil kerana kesalahan ofsaid.

Empat minit kemudian, kapten Tanjong Pagar, Akram Azman menyangka telah menyamakan kedudukan menerusi tandukan yang melepasi penjaga gol, Syahmi Adib Haikal Mohd Shukri.

Kem The Jaguars kecewa buat kali kedua apabila gol tersebut turut dibatalkan pengadil kerana Akram berada pada kedudukan ofsaid.

Htet Aung hampir menggandakan kelebihan skuad Rusa pada minit ke-73 tetapi sepakannya berjaya dinafikan Fashah sebelum sempat direbut Sasaki.

Negeri Sembilan akhirnya berjaya meraih gol kedua menerusi sepakan penalti pemain Jepun itu pada minit ke-79. Penalti diberi kepada tuan rumah selepas pemain gantian, N. Javabilaarivin dijatuhkan Shahrin Saberin dalam kotak penalti.

Tanjong Pagar terus berusaha memburu gol untuk merapatkan jurang jaringan. Pada akhirnya, Negeri Sembilan yang dibimbing Azzmi Aziz meraih kemenangan 2-0 ke atas pasukan dari Singapura itu.