3 Kelab Liga Super Terima Lesen Kebangsaan Bersyarat
MakanBola
PDRM FC

Tiga pasukan Liga Super menerima Lesen Kebangsaan musim 2025/26 secara bersyarat.

Tiga pasukan tersebut ialah KL City FC, Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) dan PDRM FC. Ini berdasarkan senarai pasukan yang diumumkan First Instance Body (FIB) baru-baru ini.

Ketiga-tiga pasukan diberi tempoh sehingga 31 Mei ini untuk menghantar maklumat kewangan tambahan kepada FIB.

Sekiranya KL City, Kelantan DN dan PDRM gagal berbuat demikian menjelang tarikh tersebut, Lesen Kebangsaan yang diterima sebelum ini akan ditarik balik.

Sebaik pengumuman itu dibuat, bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa memaklumkan pasukan Pantai Timur itu bersedia memenuhi permintaan FIB.

Ini memastikan persiapan Sang Kijang Emas untuk menghadapi musim 2025/26 berjalan lancar tanpa sebarang masalah.

“Saya diberi maklum Kelantan antara 14 pasukan diluluskan lesen menyertai Liga Super musim akan datang,” katanya.

“Walaupun begitu, kelulusan itu bersyarat. Insya Allah Kelantan mampu penuhi semua syarat tersebut.”

“Dengan kelulusan tersebut, Kelantan sudah boleh memulakan proses pembentukan pengurusan, kejurulatihan dan pasukan.”

10 lagi pasukan termasuk dua pasukan Liga A1 Semi-Pro, Melaka FC dan Imigresen FC turut menerima lesen untuk musim 2025/26.