Bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa bersetuju membantu Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) mengharungi kempen musim 2025/26.
Hasrat itu dizahirkan bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu menerusi satu hantaran di Facebook. Annuar memaklumkan beliau berbuat demikian tanpa sebarang syarat mahupun ganjaran.
“Saya bersetuju membantu pengurusan dan bantuan tanpa syarat dan ganjaran,” katanya.
“Sekadar bersukarela demi bola sepak Kelantan dan negara. Saya akan cuba sedaya upaya saya, Insya Allah.”
Annuar turut memaklumkan Kelantan DN dijangka sibuk membuat persiapan bagi menghadapi musim 2025/26.
Ini selepas pasukan itu telah menerima Lesen Kebangsaan secara bersyarat daripada First Instance Body (FIB). Kelantan DN antara tiga pasukan yang diberi tempoh sehingga 31 Mei ini untuk menghantar maklumat kewangan tambahan kepada badan induk itu.
Annuar percaya Sang Kijang Emas mampu memenuhi permintaan FIB bagi memastikan persiapan pasukan itu berjalan lancar.
“Saya diberi maklum Kelantan antara 14 pasukan diluluskan lesen menyertai Liga Super musim akan datang.
“Walaupun begitu, kelulusan itu bersyarat. Insya Allah Kelantan mampu penuhi semua syarat tersebut.”
“Dengan kelulusan tersebut, Kelantan sudah boleh memulakan proses pembentukan pengurusan, kejurulatihan dan pasukan,” tambahnya.
Kelantan DN kini diterajui pengurusan baharu menerusi perlantikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu, Datuk Mohd. Irwan Rizal Mohd. Ali Napiah.