3 pemain muda negara dicadang untuk membantu kempen Harimau Malaya di Pestabola Merdeka 2024.
Perkara ini disuarakan oleh bekas pemain kebangsaan, Razman Roslan yang mahu melihat watak segar membarisi skuad negara.
Katanya, Ketua Jurulatih Malaysia, Kim Pan-gon kini memiliki tempoh sekitar dua bulan untuk melakukan penilaian dan membawa skuad terbaik untuk menebus kehampaan edisi lalu.
Beliau bagaimanapun berhasrat untuk melihat lebih ramai tonggak muda mendapat tempat dalam panggilan kebangsaan.
“Kim Pan-gon ada masa hampir dua bulan untuk melihat dan menilai pemain-pemain.
“Kita tak kata perlu bawa pemain yang sama atau pemain baru, tapi kita nak lihat dia (Kim Pan-gon) membawa pemain yang cemerlang dalam liga.
Bekas pemain Selangor ini juga yakin pemain yang beraksi secara konsisten dalam liga sudah pasti bersedia untuk menggalas tugas bersama negara.
“Itu yang paling penting sebab saya rasa pemain yang cemerlang di kelab sudah pasti bersedia bersama skuad kebangsaan.
“Jadi kalau ada pemain baru yang sudah memberi impak kepada kelab, saya rasa wajarlah dipanggil,” ujar Razman.
Razman mencadangkan tiga nama untuk dipanggil membantu skuad kebangsaan September ini.
“Saya rasa Azam Azmi, Sikh Izhan juga beraksi cemerlang. Harith Haiqal bersama Selangor juga konsisten beraksi dalam kesebelasan utama pasukan. Mungkin pemain-pemain ini boleh diberi peluang,” kata Razman kepada Nindia Bola.
Malaysia akan menghadapi tentangan juara bertahan, Tajikistan dengan dua lagi lawan iaitu Lubnan dan juga Filipina menanti.
Pestabola Merdeka 2024 akan berlangsung pada 2 hingga 10 September dalam kalendar FIFA.