Ketua Jurulatih Malaysia, Kim Pan-gon berharap agar Malaysia mampu mengikut langkah Indonesia.
Harimau Malaya terpaksa menelan hakikat perit apabika tidak berupaya layak ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026.
Indonesia pula mencipta sejarah apabila menjadi satu-satunya wakil Asia Tenggara yang layak ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026.
Pengendali kelahiran Korea Selatan itu dalam satu sesi temu bual selepas perlawanan menentang Chinese Taipei melihat pelbagai aspek yang perlu ditingkatkan oleh Harimau Malaya.
Antara langkah yang terbaik dari kaca mata Pan-gon adalah dengan mengambil pemain warisan dari Eropah sebagai pelan jangka pendek buat skuad kebangsaan.
”Realitinya (bola sepak) di Malaysia, saya dapat lihat situasi agak sukar tetapi saya juga tidak tahu bagaimana mahu memperbaikinya kerana banyak perkara perlu diambil kira di sini.
Selain memperkemas sistem pembangunan bakat muda, Pan-gon turut melihat usaha negara jiran, Indonesia yang begitu rancak mencari pemain warisan di sekitar Eropah boleh menjadi alternatif terbaik di Malaysia.
”Usaha lain mungkin kita boleh mengikuti (cara) jurulatih Indonesia yang terbang ke Eropah untuk mencari pemain kacukan atau warisan, tapi bagi saya keperluan utama adalah sistem pembangunan yang melahirkan pemain tempatan yang terbaik,” jelasnya.
”Selepas itu, barulah usaha seterusnya dengan strategi untuk bersaing (dengan pasukan lain).
“Bagi saya, Indonesia akan menjadi pasukan terbaik tidak lama lagi dengan usaha yang mereka berikan tetapi Malaysia wajib mencabarnya,” kata Kim Pan-gon.
Malaysia akan mengharungi aksi Pestabola Merdeka 2024 pada bulan September ini berdepan Tajikistan, Lubnan dan juga Filipina.