Tiga bekas penjaga gol skuad Malaysia Bawah 23 Tahun pada kejohanan Piala Asia B-23 2018 alami nasib berbeza dalam saingan Liga Super musim 2024/2025.
Pada Piala Asia B-23 edisi 2018, Malaysia yang pada ketika itu dibimbing oleh Datuk Ong Kim Swee telah membawa tiga penjaga gol iaitu Haziq Nadzli, Ifwat Akmal dan Syihan Hazmi.
Penampilan Haziq di dalam kejohanan berkenaan telah membantu Malaysia mencipta kejutan mara ke suku akhir sebelum tewas kepada Korea Selatan.
Kini ketiga-tiga penjaga gol ini mengalami nasib yang berbeza dalam saingan Liga Super musim ini. Haziq dan Ifwat kini sedang bergelut untuk merebut tempat sebagai penjaga gol utama pasukan.
Haziq yang mempamerkan aksi mengagumkan dalam aksi pra musim sedang bersaing dengan Ramadhan Hamid sebagai penjaga gol utama Perak FC. Haziq kini hanya menjadi pilihan kedua penjaga gol Perak FC selepas hanya memanaskan bangku simpanan dalam beberapa perlawanan terkini Perak.
Begitu juga dengan apa yang berlaku kepada Ifwat Akmal yang masih belum mencatatkan sebarang penampilan musim ini untuk pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC). Ifwat perlu bersaing dengan Kalamullah Al-Hafiz untuk menjadi penjaga gol utama Sang Kenari.
Manakala berbeza dengan apa yang Syihan alami kini. Syihan merupakan penjaga gol utama pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan juga penjaga gol utama skuad kebangsaan.
Peningkatan mendadak Syihan sejak beberapa tahun kebelakangan ini nyata membuka mata banyak pihak walaupun gagal meraih sebarang penampilan ketika Piala Asia B-23, enam tahun yang lalu.
Syihan walau bagaimanapun dijangka bakal menerima saingan hebat selepas ini dengan terdapat desas-desus yang mengatakan bahawa JDT akan membawa masuk penjaga gol baharu yang mempunyai darah warisan Malaysia, Diego Altube.