3 Pertahanan Kiri Harimau Malaya Kembali Menyinar Menjelang Kelayakan Piala Asia

Nazirul Syazwan Fazlu 3 Pertahanan Kiri Harimau Malaya Kembali Menyinar Menjelang Kelayakan Piala Asia
Sabah-Melaka-Selangor FC

Kelibat 3 pertahanan kiri yang kembali menyinar bersama pasukan masing-masing sudah pasti menggembirakan para penyokong Harimau Malaya.

Sebelum ini, pasukan negara hanya bergantung kepada kecemerlangan pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), La Vere Corbin Ong yang menjadi tunjang pada posisi tersebut.

Sungguhpun terdapat beberapa orang pemain yang pernah mengisi posisi itu, ia masih tidak dapat menandingi kecemerlangan pertahanan utama JDT itu.

Namun begitu, prestasi beberapa orang bekas pertahanan kiri Harimau Malaya kembali memberi sinar buat jurulatih, Kim Pan-gon untuk menyenaraikan mereka dalam skuad Piala Asia, Jun ini.

 3. Syazwan Andik (Melaka United FC)

Pertahanan muda berusia 25 tahun kembali menemui rentak permainannya selepas dipinjamkan daripada pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) ke Melaka United.

Beliau telah tampil dalam beberapa aksi Liga Super dan juga Piala FA sebagai pemain gantian.

Syazwan masih memiliki kualiti dalam hantaran dan ketenangannya mengemudi pertahanan kiri masih terserlah.

Sungguhpun baru 3 kali beraksi pada musim ini, beliau menunjukkan positiviti dari sudut permainannya setiap kali diberi peluang beraksi.

Kemampuannya untuk mengatur gerak dan memulakan serangan dari bawah telah menjadi aset terbaik buatnya untuk terus diberikan peluang bersama Melaka United.

Dengan persembahan yang meyakinkan musim ini, tidak mustahil beliau berada dalam radar Pan-gon untuk dibawa ke dalam skuad Kelayakan Piala Asia.

 2. Fazly Mazlan (Selangor FC)

Bekas pertahanan pasukan JDT ini kembali memulakan perjalanan kariernya selepas proses pinjaman bersama Sri Pahang berakhir.

Beliau kembali menjadi pilihan utama selepas melengkapkan perpindahan ke pasukan Merah Kuning pada musim ini.

Gandingan mantap bersama Quentin Cheng sering menyukarkan pasukan lawan untuk mengekang asakan bertali arus mereka.

Malah, Fazly yang merupakan anak jati kelahiran Selangor ini menjadi pilihan utama barisan kejurulatihan Selangor untuk mengisi posisi pertahanan kiri.

Pada musim ini, pertahanan berusia 28 tahun ini sudah pun beraksi sebanyak 4 perlawanan secara keseluruhannya.

Konsistensi dan disiplin beliau sudah pasti mampu untuk memantapkan lagi pasukan negara untuk meraih keputusan positif di Kelayakan Piala Asia.

 1. Nazirul Naim (Sabah FC)

Pertahanan pasukan Sabah FC ini sedang menikmati kebangkitan dalam kariernya musim ini.

Beliau telah pun memilih untuk meninggalkan pasukan Perak FC dan mewakili Sabah untuk terus merebut peluang bersama Harimau Malaya.

Kehadiran Dato’ Ong Kim Swee telah menyuntik semula keyakinan untuk beliau terus memperagakan persembahan yang sangat cemerlang buat pasukan baharunya itu.

Gandingan bersama seorang lagi pertahanan berpengalaman, Rizal Ghazali jelas menjadi nadi kekuatan Sabah terutamanya ketika mereka melakukan overlapping untuk membantu jentera serangan.

Pemain berusia 29 tahun ini juga telah menjaringkan 1 gol dan mencipta 1 bantuan gol dalam saingan Piala FA musim ini.

Sabah kini gah berada pada tangga kedua Liga Super setelah 6 perlawanan setakat ini.