Umum mengetahui bahawa kelab gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester United akan menjelajah benua Asia termasuk Malaysia pada Mei ini.
Namun tidak semua tahu apakah sebab utama yang mendorong United untuk berkunjung ke Asia dan beraksi di dalam perlawanan persahabatan di benua ini.
Dalam satu laporan ESPN, Ketua Pegawai Eksekutif Manchester United, Omar Berrada menjelaskan tiga sebab mengapa United perlu ke Asia.
Sudah pasti pendapatan tambahan dan mencipta peluang komersial menjadi sasaran buat United selain merapatkan hubungan dengan peminat di Asia.
“Perlawanan daripada lawatan (ke Asia dan Malaysia) memacu pendapatan tambahan yang besar yang membantu menjadikan kelab lebih kuat, membolehkan kami terus melabur dalam kejayaan di atas padang.
“Siri jelajah ini juga bakal mewujudkan peluang unik untuk kami bekerjasama dengan rakan komersial kami yang dihargai dan untuk mengeratkan hubungan dengan peminat kami di rantau seperti Asia dan Amerika Syarikat,” jelas Omar Berrada seperti dilaporkan ESPN.
United dijangka akan bertolak untuk menjelajah Asia sejurus selepas tamat musim Liga Perdana Inggeris. Anak buah Ruben Amorim akan berdepan ASEAN All-Stars di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 28 Mei ini. Ini disusuli aksi menentang Hong Kong di Stadium Hong Kong pada 30 Mei.
Ini kali pertama United beraksi di Malaysia sejak jelajah pra-musim 2009/10. Selain jelajah pasca-musim 2024/25, The Red Devils turut mengumumkan jelajah pra-musim 2025/26 di Sweden dan Amerika Syarikat.