Manchester United bakal berdepan cabaran barisan bintang ASEAN di Bukit Jalil pada 28 Mei ini.
ASEAN Football melaporkan aksi persahabatan membabitkan The Red Devils itu bakal diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada tarikh berkenaan.
Aksi ini bakal berlangsung tiga hari selepas aksi terakhir Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Aston Villa di Old Trafford.
Berita ini sekaligus menyaksikan United kembali ke Malaysia buat kali pertama sejak tahun 2009. Kempen pra-musim tahun tersebut menyaksikan The Red Devils berdepan Harimau Malaya.
United yang ketika itu dibimbing Sir Alex Ferguson meraih kemenangan 3-2 dan 2-0 ke atas skuad negara. Menariknya, penyerang legenda, Amri Yahyah berjaya merobek gawang The Red Devils sebanyak dua kali.
Sebelum ini, United dilaporkan mahu menjadikan Malaysia antara destinasi persinggahan mereka untuk pra-musim 2025/26.
Selain Malaysia, pengurusan United turut menjadikan Hong Kong sebagai destinasi persinggahan pasukan itu untuk jelajah pasca-musim 2024/25.
The Red Devils berpotensi menjana pendapatan sekitar AS$10 juta (RM45 juta) menerusi jelajah pasca-musim 2024/25.