Advertising
Lawatan Manchester United Ke Malaysia Bakal Jana RM45 Juta
MakanBola
Manchester United

Manchester United berpotensi menjana pendapatan sekitar AS$10 juta (RM45 juta) apabila mengadakan lawatan pasca-musim ke Malaysia.

Sebelum ini, media melaporkan kelab yang diberi jolokan The Red Devils itu bakal mengadakan lawatan ke Malaysia pada musim panas 2025.

Ad

Ini kali pertama bekas juara Liga Perdana Inggeris (EPL) musim 2012/13 itu mengadakan lawatan di Malaysia sejak tahun 2009.

Ad

Harimau Malaya berpeluang berentap dengan pasukan itu sebanyak dua kali pada 18 dan 20 Julai 2009. Kedua-dua perlawanan itu dimenangi The Red Devils dengan keputusan 3-2 dan 2-0.

Kini, kelab tersebut dikhabarkan mahu mengadakan lawatan ke Malaysia selepas tamat kempen EPL musim 2024/25.

Ad

Langkah ini bertujuan menambah kekuatan kewangan pasukan itu. Ini ditambah dengan fakta United perlu mematuhi Peraturan Keuntungan dan Kelestarian Kewangan EPL (PSR) dan Garis Panduan Kewangan Fair Play UEFA.

Ad

Penguatkuasaan PSR mendorong pemegang saham minoriti kelab, Sir Jim Ratcliffe melaksanakan pelbagai langkah drastik bagi memperkukuh kedudukan The Red Devils.

Ad

Antara langkah yang diambil ialah meningkatkan harga tiket, membuang 250 pekerja dan membatalkan keraian Krismas tahunan dalam kalangan kakitangan United.

United memilih taktik ini kerana ia pernah dimanfaatkan oleh Tottenham Hotspur dan Newcastle United pada akhir musim 2023/24. Selepas tamat musim tersebut, Spurs dan The Magpies memilih mengadakan perlawanan pasca-musim di Australia.

The Athletic melaporkan kelab itu merancang untuk mengadakan perlawanan di Malaysia sebaik tamat kempen EPL pada 25 Mei. United juga berpeluang meraih trofi Liga Europa UEFA (UEL) dan The Emirates FA Cup seandainya berjaya mara ke final kedua-dua kejohanan itu.

Final The Emirates FA Cup bakal diadakan pada 17 Mei. Final saingan UEL pula bakal berlangsung di Sepanyol pada 21 Mei.

Peminat United di Malaysia berpotensi beramah mesra dengan ramai bintang ternama kelab tersebut seperti Alejandro Garnacho, Marcus Rashford dan Andre Onana.

Ini kerana The Red Devils tidak menyertai saingan Piala Kelab Dunia FIFA 2025 yang berlangsung pada Jun 2025. Selain itu, kelab juga dijangka melepaskan beberapa pemain untuk saingan Liga Negara-Negara UEFA (UNL) pada tempoh sama.

Buat masa ini, United belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi tentang perancangan lawatan mereka ke Malaysia.