Advertisement
Manchester United Bakal Kembali Ke Malaysia
EPL
MakanBola
Manchester United

Kelab gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester United bakal kembali ke Malaysia pada tahun 2025.

Stadium Astro melaporkan Malaysia bakal menjadi antara negara yang bakal disinggahi The Red Devils untuk jelajah pramusim di Asia.

Mengikut perancangan, satu aksi persahabatan pramusim antara kelab itu dengan sebuah kelab Eropah bakal diadakan di Malaysia sekitar Mei atau Jun 2025.

Kali terakhir Malaysia menjadi lokasi persinggahan United untuk jelajah pramusim ialah tahun 2009 semasa era Sir Alex Ferguson.

Harimau Malaya berpeluang berentap dengan pasukan itu sebanyak dua kali pada 18 dan 20 Julai 2009. Kedua-dua perlawanan itu dimenangi The Red Devils dengan keputusan 3-2 dan 2-0.

Mengikut perancangan jelajah pada ketika itu, Indonesia juga berada dalam senarai negara yang bakal disinggahi juara The Emirates FA Cup 2023/24 itu.

Walau bagaimanapun, United membatalkan perancangan untuk singgah di Indonesia susulan insiden pengeboman Hotel JW Marriott pada 17 Julai 2009.

Kali terakhir Malaysia menjadi pilihan lokasi jelajah pramusim Asia kelab EPL ialah tahun 2015 bersama Liverpool. The Reds memilih Pilihan Malaysia XI yang ketika itu dibimbing Dato’ Dollah Salleh sebagai lawan mereka.

Patrick Ronaldinho Wleh meletakkan Malaysia di hadapan pada minit ke-13. Pemain sayap, Jordon Ibe memastikan kedua-dua pasukan terikat 1-1 menerusi gol pada minit ke-28.