Ini 3 senario menanti Johor Darul Ta’zim (JDT) berdasarkan keputusan aksi menentang Vissel Kobe pada Selasa.
Pertemuan JDT vs Vissel Kobe menjadi detik penting kepada perjalanan skuad Harimau Selatan di pentas AFC Champions League Elite (ACLE) musim ini sama ada akan terus berjuang atau sebaliknya.
Kedudukan semasa menyaksikan JDT berada di tangga ke-7 dengan mengumpul 8 mata selepas 7 perlawanan hasil dua kemenangan, dua keputusan seri beserta 3 kekalahan yang dicatatkan.
Berdasarkan kedudukan ini dan jadual pesaing yang lain, ini 3 senario yang mungkin bakal berlaku melibatkan pasukan JDT selepas keputusan perlawanan menentang Vissel Kobe nanti diketahui.
Seandainya kemenangan menjadi milik JDT malam ini, sudah pasti slot ke pusingan 16 terbaik telah terjamin buat pasukan Harimau Selatan mengambil kira tambahan 3 mata yang akan diperoleh.
Kemenangan akan melonjakkan kedudukan JDT ke posisi ke-5 maksimum, bergantung kepada keputusan di venue-venue lain namun setidaknya posisi dalam kelompok 8 kelab terbaik sudah terjamin.
Jika keputusan seri dicapai oleh JDT dan Vissel Kobe malam ini, pasukan bimbingan Xisco Munoz ini terpaksa menunggu keputusan perlawanan-perlawanan lain melibatkan pesaing mereka.
Hal ini kerana satu mata daripada pertembungan ini tampak seperti masih belum memadai jika keputusan di venue lain memihak kepada pesaing JDT seperti Ulsan HD, Gangwon dan Chengdu Rongcheng.
Senario yang pastinya tidak mahu berlaku adalah kekalahan yang mana dianggap seperti menutup jalan buat JDT untuk mara ke pusingan seterusnya meskipun kedudukan semasa masih berada dalam kelompok 8 terbaik.
Kekalahan bakal memberi ruang yang besar buat kelab-kelab lain untuk memintas JDT selepas mengambil kira jurang yang tidak terlalu jauh antara 3 pasukan di bawah dan pasti mahu dielakkan.
Barisan terkuat dijangka menjadi taruhan Xisco Munoz pada malam ini dalam misi penting bagi memperoleh kemenangan lebih-lebih lagi apabila tampil di hadapan penyokong sendiri.