3 watak berbisa bakal membuat kemunculan dan membantu cabaran Harimau Malaya di Thailand.
Skuad kendalian Pau Marti bakal berdepan cabaran hebat dua pasukan pada dua venuw berbeza bagi aksi persahabatan Tier 1 FIFA bulan November ini.
Ujian pertama bakal berlangsung di Thailand apabila skuad negara bakal menentang pasukan ke-187 dunia, Laos bagi aksi pertama pada 14 November ini.
Menerusi senarai pemain yang dipanggil ke kem latihan pusat Harimau Malaya, pengendali kelahiran Sepanyol itu telah mengekalkan 20 daripada 26 pemain dari skuad yang dibawa ke Auckland, New Zealand tempoh hari.
Tumpuan bagaimanapun terarah kepada kapten negara, Dion Cools yang kembali bersama pasukan setelah tidak dapat bersama ekoran faktor keluarga pada kem lalu.
Pemain berusia 28 tahun itu merupakan watak utama kelab Thailand, Buriram United dan beraksi cemerlang dalam 13 perlawanan liga dan ACLE musim ini.
Bukan itu sahaja, tumpuan juga diberikan kepada kepulangan bekas penjaga gol negara, Haziq Nadzli yang kembali dipanggil membantu Harimau Malaya selepas 6 tahun.
Kali terakhir penjaga gol berusia 27 tahun itu beraksi buat Malaysia adalah pada tahun 2018 bagi perlawanan persahabatan antara Malaysia dan Mongolia pada Mac 2018.
Seorang lagi pemain yang ditunggu-tunggu ialah pertahanan muda Terengganu, Ubaidullah Shamsul.
Pemain muda versatil ini mendapat panggilan pertamanya bersama Harimau Malaya susulan prestasi cemerlang bersama Terengganu musim ini.
Beliau telah diturunkan sebanyak 16 kali dalam aksi Liga Super termasuklah beraksi cemerlang menentang Sri Pahang, KL City dan terbaru Penang.
Malaysia bakal mengharungi satu lagi aksi persahabatan menentang India pada 18 November di Hyderabad sebelum pulang ke tanah air.