Natxo Insa kembali mewarnai kem skuad kebangsaan Malaysia dalam senarai 26 pemain bagi menghadapi Laos dan India November ini.
Skuad kendalian Pau Marti diwarnai dengan muka lama dan baharu bagi panggilan kali ini sekaligus merancakkan pertemuan aksi persahabatan Tier 1 FIFA.
Pengendali kelahiran Sepanyol itu telah mengekalkan seramai 20 daripada 26 pemain dari skuad yang dibawa ke Auckland, New Zealand bagi kem latihan pusat pada Oktober lalu.
Enam pemain baharu dipanggil kali ini iaitu penjaga gol, Haziq Nadzli (Perak FC), Ubaidullah Shamsul Fazili (Terengganu FC), Mukhairi Ajmal Mahadi (Selangor FC), Sergio Aguero (Sri Pahang FC), Natxo Insa (JDT) serta kapten, Dion Cools (Buriram United).
Posisi penjaga gol menyaksikan muka-muka utama kekal dipanggil bagi kem latihan kali ini iaitu Ahmad Syihan Hazmi, Azri Ghani dan juga Haziq Nadzli.
Pau Marti mempertaruhkan kapten pasukan, Matthew Davies dan Azam Azmi pada posisi pertahanan kanan manakala Daniel Ting, Zikri Khalili dan juga Adib Ra’op selaku pertahanan kiri.
Nama-nama seperti Dion Cools, Feroz Baharudin, Safwan Mazlan, Harith Haiqal terus menggalas tugas sebagai tonggak pertahanan tengah Harimau Malaya.
Perancang tengah negara bakal dikemudi oleh Nooa Laine, Syamer Kutty, Endrick Dos Santos, Stuart Wilkin, Zhafri Yahya dan Natxo Insa dengan Afiq Fazail berada dalam senarai bersedia.
Penyerang negara kekal dibarisi watak penting iaitu Paulo Josue, Romel Morales, Arif Aiman, Safawi Rasid, Akhyar Rashid dan juga Haqimi Azim.
Sementara itu, beberapa pemain diletakkan dalam senarai bersedia. Selain Afiq, turut tersenarai ialah Shahrul Saad, Brendan Gan, Corbin Ong, Declan Lambert, Zikri Khalili dan Fergus Tierney.
Malaysia akan membuka aksi persahabatan Tier 1 FIFA menentang pasukan Laos di Stadium PAT, Thailand pada 14 November sebelum terbang ke India bagi satu lagi aksi pada 18 November.