Bahrain Jadi ‘Mangsa’ Belasahan Negara Ke-145 Dunia
MakanBola
Bahrain NT

Bahrain menjadi mangsa belasahan Yaman dalam aksi Kumpulan B Gulf Cup yang berlangsung pada awal pagi Khamis.

Selepas tewas dalam dua aksi awal kumpulan, kedua-dua pasukan berharap dapat menutup kempen Gulf Cup dengan kemenangan.

Bahrain membuka tirai jaringan seawal minit keenam menerusi Ali Al-Doseri. Nasser Mohammedoh kemudiannya menyamakan kedudukan buat Yaman 12 minit selepas itu.

Abdulwasea Al-Matari kemudiannya meletakkan Yaman di hadapan pada minit ke-31. Sembilan minit selepas itu, Rami Al-Wasmani mencetak nama sebagai penjaring dengan menyudahkan hantaran Adel Abbas Qasem.

Adel Abbas kemudiannya mencipta nama sebagai penjaring dengan meledakkan gol keempat Yaman pada minit ke-44.

Pemain sayap Bahrain, Ali Madan mengurangkan defisit dengan menyumbat gol kedua pasukan itu pada minit ke-66. Rami sekali lagi menjadi pemusnah pasukan Asia Barat itu dengan meledakkan gol kelima pada minit ke-90.

Keputusan 5-2 kekal sehingga tamat perlawanan. Semakan terbaru ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menyaksikan Bahrain jatuh empat anak tangga ke kedudukan ke-96 dunia.

Yaman pula memperbaiki kedudukan mereka ke tangga ke-143 dunia susulan kemenangan besar itu. Kekalahan besar ini dijangka memberi tekanan kepada Dragan Talajic susulan prestasi buruk Bahrain dalam Gulf Cup.